Sabtu, 5 Januari 2019 | 10:29am
UNIVERSITI Malaysia Pahang (UMP) tersenarai pada kedudukan ke-97 terbaik dunia dalam PenarafUI-Green Metric World University Ranking 2018, berdasarkan usaha kelestarian kampus hijau serta pengurusan alam sekitar. - Foto ihsan UMP
UNIVERSITI Malaysia Pahang (UMP) tersenarai pada kedudukan ke-97 terbaik dunia dalam PenarafUI-Green Metric World University Ranking 2018, berdasarkan usaha kelestarian kampus hijau serta pengurusan alam sekitar. - Foto ihsan UMP

UMP Kampus Hijau dan Lestari

KUANTAN: Universiti Malaysia Pahang (UMP) tersenarai pada kedudukan ke-97 terbaik dunia dalam Penarafan UI-Green Metric World University Ranking 2018, berdasarkan usaha kelestarian kampus hijau serta pengurusan alam sekitar yang telah diumumkan baru-baru ini.

Keputusan itu juga menjadikan UMP berada pada kedudukan ke-29 terbaik Asia dan kedudukan ke-16 di Asia Tenggara.

Pencapaian itu menyaksikan UMP berjaya memperbaiki 10 kedudukan berbanding berada pada kedudukan ke-107 bagi penarafan yang sama pada tahun 2017.

Penilaian itu dibuat berdasarkan enam kriteria utama iaitu Keluasan Tanah dan Infrastruktur (15 peratus), Tenaga dan Perubahan Iklim (21 peratus), Sisa Buangan (18 peratus), Air (10 peratus), Pengangkutan (18 peratus) dan Pendidikan (18 peratus).

Naib Canselor UMP, Prof Datuk Seri Dr Daing Nasir Ibrahim, berkata pencapaian itu adalah komitmen berterusan pihak universiti terhadap pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar melalui pelbagai aktiviti pengajaran, penyelidikan, kokurikulum dan sistem pengurusan kualiti berteraskan pengurusan alam sekitar yang berkesan.

Katanya, agenda penghijauan kampus dan penjimatan sering menjadi keutamaan pihaknya dalam setiap perancangan dan belanjawan tahunan.

“Kampus utama UMP yang terletak di Kuala Pahang, Pekan dibangunkan di atas tanah paya yang ditambak dengan tanah pasir adalah antara cabaran utama kepada survival pokok-pokok yang ditanam.

“Bagaimanapun, cabaran ini bukan alasan untuk UMP mengenepikan fokus untuk mewujudkan kampus yang hijau dan lestari untuk warganya.

“Banyak kajian menunjukkan bahawa penggunaan baja organik sama ada dari bahan tumbuhan atau sisa haiwan kepada tanah pasir akan meningkatkan kesuburannya dan juga meningkatkan sifat fizikalnya,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Katanya lagi, UMP juga mengamalkan konsep 3R (Reduce, Reuse & Recycle) dalam menguruskan pelbagai jenis bahan buangan yang dihasilkan oleh universiti itu.

“Universiti turut memastikan satu sistem pengurusan berkesan dalam menyingkirkan bahan buangan universiti dan pelupusan sisa yang mampan serta bertanggungjawab,” katanya.

Daing Nasir berkata, begitu juga dengan amalan berbasikal sebagai pengangkutan popular dan juga pada masa yang sama menjimatkan penggunaan bahan api serta yang lebih penting lagi dapat mengurangkan pengeluaran dan pencemaran udara.

“Warga UMP akan terus memberikan sepenuh komitmen dan sumbangan dalam mengurangkan kesan negatif terhadap alam sekitar yang disebabkan oleh aktiviti seharian serta menggunakan sumber secara optimum tanpa menjejaskan keperluan generasi akan datang,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X