Rabu, 9 Januari 2019 | 4:57pm
PENGERUSI Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti negeri, Jimmy Puah Wee Tse. - Foto Hairul Anuar Rahim

Johor kekal tarif air

JOHOR BAHRU: Kadar tarif air yang berkemungkinan akan dinaikkan secara berperingkat di seluruh negara, tidak akan membabitkan Johor kerana negeri ini sudah menaikkan tarif itu pada tahun 2015.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti negeri, Jimmy Puah Wee Tse, berkata usaha Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS) yang bercadang menaikkan kadar itu lebih kepada mahu menyeragamkan tarif air di Malaysia.

“Tarif air di Johor baru sahaja dinaikkan pada tahun 2015. Tarif air di Johor juga dilihat bukanlah terlalu rendah berbanding dengan negeri lain, maka saya lihat tiada keperluan untuk melakukan sebarang kenaikan pada peringkat ini.

“Saya nampak usaha KATS sekarang ini lebih kepada cuba menyeimbangkan atau menyeragamkan tarif air di Malaysia, maka sebarang kenaikan lagi tarif air di Johor tidak akan selaras dengan matlamat ini,” katanya ketika dihubungi NSTP di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pendirian kerajaan negeri berhubung kenyataan Menteri KATS, Dr A Xavier Jayakumar yang menyatakan kadar tarif air mungkin akan dinaikkan secara berperingkat tahun ini selaras dengan usaha kerajaan untuk menstruktur semula industri perkhidmatan bekalan air di negara ini.

Memetik laporan itu, Xavier berkata, kenaikan tarif sumber asli terbabit perlu dilaksanakan bagi menjaga kepentingan pengguna untuk mendapatkan air berkualiti serta menjamin industri itu dari sudut perkhidmatan.

KATS bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) sedang berunding dengan beberapa kerajaan negeri untuk mendapatkan persetujuan semua pihak sebelum ia dilaksanakan.

Bagaimanapun, dilaporkan bahawa kenaikan kadar tarif air itu masih belum ditetapkan kerana setiap negeri mempunyai kadar tarif yang berbeza.

Berita Harian X