Isnin, 14 Januari 2019 | 11:49am
Sekumpulan Orang Asli dari suku Semai menemani anak mereka menunggu bas untuk pulang ke asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ahmad Shah di Tanah Rata ketika tinjauan Pilihan Raya Kecil Parlimen Cameron Highlands di Pos Telanok, Cameron Highlands. - Foto BERNAMA

Penduduk Cameron Highlands tagih penyelesaian masalah, bukan janji

CAMERON HIGHLANDS: Laluan sempit ditambah pula dengan jumlah kenderaan terlalu banyak sering mengakibatkan perjalanan yang biasanya mengambil masa 10 minit dari Tringkap ke Brinchang, boleh mencecah hingga sejam pada musim cuti umum.

Ini antara masalah lapuk yang perlu diselesaikan oleh Ahli Parlimen baharu kawasan tanah tinggi itu sebaik dipilih pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands, 26 Januari ini.

Bagi pemandu lori, R Manikam, 38, yang sering berulang-alik ke pusat peranginan itu untuk mengangkut sayur-sayuran, masalah kesesakan di pekan Brinchang sudah berlarutan sekian lama dan belum ada pihak dilihat bersungguh-sungguh menyelesaikan masalah terbabit.

“Ini bukan masalah baharu, sudah lama berlaku dan terus berulang tiap kali musim cuti umum atau cuti sekolah...laluan sedia ada sempit dan tidak lagi mampu menampung jumlah kenderaan yang memasuki kawasan Tanah Rata hingga ke pekan Cameron Highlands setiap kali cuti.


Laluan utama masyarakat Orang Asli yang rosak di Kampung Pos Betau, Sungai Koyan. - Foto Nazirul Roselan

“Saya pernah terperangkap dalam kesesakan selama dua jam untuk jarak perjalanan hanya lima kilometer, ketika musim cuti persekolahan beberapa tahun lalu dan ia sangat menyusahkan kami,” katanya.

Manikam berkata, walaupun kerajaan negeri sudah meminta kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Majlis Daerah Cameron Highlands membantu melancarkan aliran trafik, namun ia hanyalah penyelesaian jangka pendek.

Sementara itu, Tok Batin Kampung Melot, Ngeset Kembok, 65, berkata kebanyakan perkampungan Orang Asli di daerah itu masih belum mempunyai jalan raya yang sempurna, selain berdepan masalah bekalan air bersih


Batin Ngeset Kembok, 65. - Foto Nazirul Roselan

“Banyak lagi kampung Orang Asli yang tidak ada kemudahan asas...jalan raya pun tidak dibina dengan baik...bekalan air bersih pun tidak ada, ramai yang masih mengharapkan air sungai untuk kegunaan harian mereka.

“Sekarang ini, banyak wabak penyakit dibawa atau disebarkan melalui air...kalau terus macam ini, susahlah...(penyakit) kencing tikus pun mudah tersebar melalui bekalan air yang tidak bersih.

“Kita minta, semua masalah ini diselesaikan secepat mungkin...sekarang musim PRK, ramai orang datang dan janji macam-macam... kalau boleh, jangan setakat buat janji saja...kalau nak menang, tunjukkan kesungguhan untuk selesaikan semua masalah kami,” katanya.

Dia turut memaklumkan masalah peluang pekerjaan untuk generasi muda masyarakat Orang Asli juga sangat terhad memandangkan kebanyakan pengusaha kebun dan ladang di kawasan tanah tinggi itu lebih gemar mengambil pekerja warga asing.

Katanya, tindakan itu sangat dikesali dan akhirnya mengakibatkan ramai anak muda Orang Asli tidak mempunyai pendapatan hingga terpaksa berhijrah ke kawasan lain untuk mencari kerja.

355 dibaca
Berita Harian X