Isnin, 14 Januari 2019 | 2:13pm
ABANG Johari Abang Openg (enam dari kanan) diiringi Lee Kim Shin (empat dari kiri) meninjau pembinaan Wireless Work di Jalan North Yu Seng, Miri. - NSTP/Kansau Sidi

Sarawak tumpu pasaran pelancong Brunei

MIRI: Brunei Darussalam terus kekal sebagai pasaran tradisi sektor pelancongan bagi Sarawak, dengan segmen itu terus diberikan tumpuan oleh kerajaan negeri ini.

Malah, kerajaan negeri berhasrat membuka pejabat promosinya di Bandar Seri Begawan bagi menarik kunjungan lebih ramai pelancong Brunei ke Sarawak.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, berkata kemudahan itu bakal berfungsi sebagai platform pemasaran dan promosi untuk produk pelancongan negeri ini.

Katanya, kerajaan negeri turut merapatkan lagi hubungan kerjasama dengan agensi pelancongan di negara jiran itu untuk manfaat sektor pelancongan di negeri ini.

“Pembinaan Wireless Work di Jalan North Yu Seng, di sini, antara usaha menarik lebih ramai pelancong asing datang ke Sarawak, khususnya melalui Bandaraya Miri.

“Bernilai RM3 juta, projek itu sudah 70 peratus siap dan dijangka dapat digunakan dua bulan lagi,” katanya ketika meninjau perkembangan projek itu, di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak, Datuk Lee Kim Shin.

Abang Johari berkata, Wireless Work bakal menjadi tumpuan pelancong di bandar raya ini apabila ia beroperasi sepenuhnya kelak.

Katanya, banyak kemudahan disediakan kepada peniaga dan pelancong yang berkunjung ke kawasan itu termasuk perkhidmatan internet percuma berkelajuan tinggi.

“Bagi peniaga pula semua kemudahan asas seperti air, elektrik dan gas akan disediakan kepada mereka yang berniaga di situ,” katanya.

Lebih 60 lot perniagaan disediakan kepada peniaga yang berminat menjalankan aktiviti perniagaan di kawasan itu.

Berita Harian X