Selasa, 15 Januari 2019 | 2:03pm
Ahmad Faizal (dua dari kiri) melihat replika rumah selepas menyempurnakan majlis pecah tanah projek perumahan Naluri Perdana Gopeng di Gopeng. - Ihsan Pejabat Menteri Besar

Kerajaan Perak kaji semula perjanjian projek perumahan

IPOH: Kerajaan Perak mengkaji semula beberapa perjanjian projek perumahan dilaksanakan oleh pihak swasta dengan Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) yang dimeterai sebelum ini, kata Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Beliau berkata, ia kerana ada beberapa projek perumahan yang dijanjikan untuk dilaksanakan terutama untuk golongan berpendapatan rendah atau B40, sehingga kini tidak dapat dilaksanakan dan ada antaranya yang terbengkalai.

“Sekarang kita banyak menyelesaikan masalah dengan pemaju yang sudah menjalankan kerjasama dengan LPHP sebelum ini dan bermasalah dari segi kewangan dan sebagainya.

“Yang Berhormat Paul Yong (Choo Kiong) (Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru negeri) dan LPHP sedang mengkaji semula perjanjian (dengan pemaju) supaya (projek dijanjikan) dapat berjalan dengan lebih laju sekarang.

“Kita tidak buang pemaju lama, kita cari jalan bagaimana nak bantu supaya mereka dapat menjalankan projek dengan segera (termasuk) projek terbengkalai, kita panggil balik dan berbincang, jika ada masalah kewangan kita cuba bantu, tetapi mana yang tidak mampu langsung untuk meneruskan projek, kita terpaksa dapatkan pemaju lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan perasmian majlis pecah tanah projek perumahan Naluri Perdana Gopeng di Gopeng membabitkan kerjasama Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc) dan MK Land Holdings Berhad (MK Land), dekat sini, hari ini.

Hadir sama, Paul Yong; Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc, Anuar Zainal Abidin; Pengerusi Eksekutif MK Land, Felina Mustapha Kamal; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MKLand, K Mohanachandran serta Pengarah Pejabat Tanah dan Galian (PTG), Datuk Rumaizi Baharin.

Ahmad Faizal berkata langkah itu dilakukan bukan semata-mata untuk menjaga kepentingan pemaju, sebaliknya yang paling penting ialah kepentingan rakyat iaitu memastikan projek dijadualkan berjalan lancar berikutan permintaan tinggi daripada orang ramai.

Beliau berkata, sehingga kini pihaknya sudah mengenal pasti lebih 30,000 unit rumah mampu milik program Perakku dengan harga serendah RM40,000 seunit, yang sedang dan akan dibina di beberapa lokasi di negeri ini.

Pada masa sama, katanya, kerajaan negeri juga menetapkan mana-mana projek perumahan yang dibangunkan di kawasan melebihi lapan hektar, separuh daripadanya mesti membabitkan pembinaan rumah program Perakku.

Ahmad Faizal berkata, menerusi langkah berkenaan, pihaknya yakin sasaran membina 50,000 unit Perakku untuk kumpulan B40 dalam tempoh lima tahun ini, mampu dicapai.

“Kita kena kenal pasti lebih banyak kawasan untuk dibuka (bagi projek perumahan) kerjasama dengan pihak swasta, kewangan kerajaan negeri terhad dan tidak mampu buat sendiri, jadi kita perlu kerjasama dengan pihak swasta,” katanya.

Berita Harian X