Selasa, 15 Januari 2019 | 6:33pm
MENTERI Besar Kelantan, Datuk Amad Yakob, (tengah) menyaksikan Pengarah Yayasan Islam Kelantan (YIK), Ab Rahman Tuan Yunus (tiga dari kanan) bertukar dokumen perjanjian dengan Rektor Universiti Ez-Zitouna, Tunisia, Dr Hisyam Qarisah di Hotel Perdana. - Foto Fathil Asri

Kerajaan Kelantan perbaharui tuntutan royalti minyak

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan memperbaharui permohonan tuntutan royalti petroleum dengan Kerajaan Pusat, semalam.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, berkata ia dilakukan selepas beliau melakukan pertemuan rasmi dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Putrajaya, semalam.

Pertemuan itu turut dihadiri Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang turut membincangkan isu pembayaran royalti berkenaan.

Ahmad berkata, dalam pertemuan itu, Perdana Menteri turut mengarahkan Kementerian Kewangan untuk membayar royalti secara tunai kepada Kelantan dan Terengganu.

Katanya, kerajaan negeri sudah memperbaharui permohonan tuntutan dan pertemuan semalam tidak membincangkan jumlah dan bila bayaran akan dibuat.

“Kita sudah menyerahkan semua dokumen tuntutan termasuk jumlah bayaran yang sepatutnya dibayar oleh Kerajaan Pusat.

“Kita tidak dimaklumkan berapa jumlah sebenar dan bila ia akan dibayar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) dan Pusat Pengajian Pondok Kandis dengan Universiti Ez-Zitouna, Tunisia di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan Rektor Universiti Ez-Zitouna, Dr Hisyam Qarisah.

Mengulas lanjut Ahmad berkata, Kelantan juga dalam proses menarik balik tuntutan saman terhadap Petronas dan Kerajaan Persekutuan.

Akhbar sebelum ini melaporkan Kerajaan Persekutuan terpaksa menunggu dan menangguhkan bayaran royalti petroleum kepada kerajaan negeri berikutan terdapat tuntutan mahkamah yang belum selesai.

Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dr Radzi Jidin, dilaporkan berkata berikutan itu, pihaknya tidak dapat mempercepatkan pembayaran berkenaan sehingga selesai perbicaraan.

Berita Harian X