Rabu, 16 Januari 2019 | 4:38pm
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Datuk Jaseni Maidinsa semasa sidang media di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR), Georgetown. - Foto Danial Saad

Tarif air naik berikutan arahan pihak berwajib - PBAPP

GEORGETOWN: Cadangan kenaikan kadar tarif air melebihi 20 peratus di Pulau Pinang bagi kali kedua dalam tempoh 10 tahun dibuat bagi menyelesaikan isu penggunaan bahan mentah itu dalam kalangan pengguna domestik di negeri itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Datuk Jaseni Maidinsa, berkata ia berikutan arahan pihak berwajib, termasuklah tiga bekas menteri daripada Barisan Nasional (BN) dan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar.

Katanya, tiga menteri daripada BN itu turut memegang portfolio berkaitan air dan mereka ialah, mendiang Tun Lim Keng Yaik, Tan Sri Peter Chin Fah Kui dan Datuk Seri Maximus Ongkili.

“Mereka (menteri) mengarahkan kita untuk mengambil langkah bagi menurunkan kadar penggunaan air dan subsidi bahan mentah berkenaan.

“Kita didesak oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Kerajaan Persekutuan untuk mengurangkan penggunaan air dan menaikkan kadar tarif,” katanya dalam sidang media bersama Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, di sini, hari ini.

Jaseni berkata, kadar tarif air negeri hanya meningkat sekali pada 2015, berbanding kenyataan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang mendakwa ia meningkat sebanyak empat kali sepanjang 10 tahun lalu.

“Pengenalan dan kajian semula Surcaj Pemuliharaan Air (SPA) pada 2010 dan 2013 tak boleh diklasifikasikan sebagai kajian semula kadar tarif air, selain golongan miskin tegar juga tak akan terkesan dengan kenaikan ini kerana kita menyediakan 60,000 liter air percuma kepada mereka,” katanya.

Sebelum ini, Kon Yeow mengumumkan kadar tarif air di negeri itu dijangka dinaikkan sehingga lebih 20 peratus, selaras dengan penstrukturan semula industri perkhidmatan bekalannya di seluruh negara.

Beliau dilapor berkata, rundingan bersama Kementerian Air, Tanah, dan Sumber Asli sudah pun bermula dan kenaikan tarif air dijangka akan membabitkan beberapa kategori pengguna.

Malah, kerajaan negeri akan memansuhkan SPA sejurus kenaikan kadar tarif air baru diumumkan, selain kadar tarif air baharu di Pulau Pinang dijamin paling rendah berbanding negeri lain.

Sementara itu, Kon Yeow berkata, semakan semula kadar SPA pada 2013 tidak boleh dikira sebagai kenaikan tarif air apabila hanya 23 peratus pengguna domestik yang menggunakan lebih 35,000 liter bahan mentah itu yang terkesan.

“Penggunaan air adalah sebanyak 291 liter per kapita sehari pada 2010, susut kepada 276 liter per kapita sehari pada 2017. Tarif air meningkat daripada 22 sen bagi 1,000 liter pertama, manakala 32 sen bagi 35,000 liter seterusnya, pada 2015,” katanya.

Berita Harian X