Khamis, 17 Januari 2019 | 12:41pm

Thaipusam: Polis nasihat orang ramai patuhi undang-undang

KUALA LUMPUR: Polis menasihatkan orang ramai supaya mematuhi undang-undang sempena perarakan perayaan Thaipusam yang akan bermula pada Sabtu ini.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner S. Shanmugamoorthy Chinniah, berkata perarakan pedati berhias (Chariot) akan melalui beberapa jalan raya di kawasan pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul menghala ke Batu Caves.

“Berdasarkan pengalaman lalu, beberapa tindakan yang menyalahi undang-undang telah dikesan semasa perayaan ini berlangsung antaranya membuat bunyi bising yang keterlaluan termasuk bunyi enjin motosikal yang diubah suai yang mengganggu suasana persekitaran selain perlakuan seperti mabuk,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, tindakan tegas daripada segi pencegahan dan penguatkuasaan akan diambil berdasarkan undang-undang sedia ada.

“Ini adalah perlu bagi memastikan perayaan keagamaan ini tidak dicemari oleh perlakuan atau sebarang bentuk provokasi yang boleh menjejaskan kesejahteraan dan ketenteraman awam,” katanya. – BERNAMA

Berita Harian X