Rabu, 6 Februari 2019 | 4:52pm
FOTO hiasan.

PKPP Cherating catat 147 pendaratan penyu tahun lalu

KUANTAN: Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu (PKPP) Cherating, di sini, mencatat pendaratan 147 penyu agar yang menghasilkan sebanyak 12,683 telur sepanjang tahun lalu.

Pengarah Jabatan Perikanan Pahang, Azahari Othman, berkata daripada jumlah itu sebanyak 7,836 telur berjaya ditetaskan di pusat penetasan khas sebelum anak penyu dilepaskan ke laut secara berperingkat.

Menurutnya, pada 2017 pihaknya mencatat sebanyak 320 pendaratan dan sebanyak 28,177 telur diterima dan daripada jumlah itu sebanyak 20,633 berjaya ditetaskan serta dilepaskan di sepanjang perairan Cherating.

Katanya, jumlah pendaratan penyu tertinggi dalam tempoh tujuh tahun dicatat pada 2016 iaitu 592 pendaratan dengan menghasilkan 53,112 telur dan sebanyak 31,652 berjaya ditetaskan mengikut jadual.

“Jumlah pendaratan penyu setiap tahun di PKPP Cherating tidak menentu disebabkan beberapa faktor seperti keadaan laut, ancaman daripada nelayan dan faktor semula jadi.

“Aktiviti pelepasan anak penyu oleh pelancong dan murid sekolah lebih banyak dapat dilakukan sekiranya jumlah penyu yang mendarat di PKPP meningkat.

“Kami berharap aktiviti pelepasan anak penyu yang diadakan setiap tahun di PKPP Cherating dapat menambahkan jumlah pendaratan penyu agar dan karah,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Katanya, tahun lalu seramai 97,051 pelancong datang ke PKPP membabitkan 84,606 pelancong tempatan dan 12,445 pelancong asing yang turut mengikuti pelbagai aktiviti disediakan.

Beliau berkata, pelbagai usaha dilakukan pihaknya untuk menarik lebih ramai pelancong berkunjung ke PKPP Cherating antaranya dengan mengadakan aktiviti melepaskan anak penyu ke laut.

“Pihak yang ingin mengadakan program boleh berhubung dengan pegawai PKPP, pelbagai kemudahan disediakan seperti tapak khemah, surau dan dewan,” katanya.

Berita Harian X