Sabtu, 9 Februari 2019 | 12:28am

Cendol Musang King RM38 semangkuk memang berpatutan

MELAKA: “Tidak tahu apa niat dia, tetapi ingin dimaklumkan yang harga itu memang berpatutan kerana itu cendol Musang King bukannya cendol biasa,” kata pemilik Raja Cendol Taming Sari, Muhammad Ariff Qayyum Mohd Zambri, 25.

Katanya, dia menyedari cendol durian dari premisnya itu viral sejak semalam selepas didakwa mahal, termasuk menerima banyak kiriman pesanan melalui WhatsApp.

Bagaimanapun, dia menganggap insiden itu sesuatu yang positif dan membantu mempromosikan lagi premisnya, sambil menegaskan harga cendol durian dijualnya pada kadar berpatutan.

“Kepada pelanggan yang sudah biasa dengan harga durian, mereka tidak akan pertikaikan lagi harga yang sudah ditetapkan.

“Sejak dibuka kira-kira 19 bulan lalu harga yang dikenakan masih sama antara RM17 hingga RM38 bagi cendol mengikut gred durian tertentu,” katanya yang ditemui di premisnya di Raja Cendol Taming Sari, Menara Taming Sari, di sini, sebentar tadi.

Muhammad Ariff Qayyum berkata, perbezaan harga cendol itu ditentukan berdasarkan jenis durian yang turut diletakkan dalam hidangan cendolnya iaitu Musang King, Udang Merah, D24 atau D101.

Katanya, setiap cendol durian juga diletakkan antara 120 hingga 150 gram ulas durian bagi memastikan kepuasan serta nilai setara yang dibayar oleh pelanggan.

“Malah, di dalam dan luar kedai juga sudah ditampal tanda harga untuk memudahkan pelanggan mengetahui kadar harga cendol durian.

“Petang tadi wakil Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) ada datang membuat pemeriksaan dan mereka berpuas hati,” katanya.

Terdahulu, resit yang memaparkan caj bagi tiga mangkuk cendol durian yang mencecah RM114 viral di laman sosial hingga mencetuskan perdebatan dalam kalangan pengguna media sosial.

PEMILIK Raja Cendol Taming Sari, Muhammad Ariff Qayyum menunjukkan kenyataan pemeriksaan oleh KPDNHEP telah dijalankan mengenai kejadian viral harga cendol terlalu mahal di kedainya di Dataran Menara Taming Sari, Banda Hilir. - Foto Rasul Azli Samad
Berita Harian X