Jumaat, 15 Februari 2019 | 10:23am
Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr Khalid Ibrahim. - Foto Muhd Asyraf Sawal
Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr Khalid Ibrahim. - Foto Muhd Asyraf Sawal

49 pelajar keracunan makanan

KUALA LUMPUR: Kantin Sekolah Kebangsaan (2) Taman Keramat, di sini, diarahkan tutup apabila 49 pelajar sekolah terbabit mengalami gejala muntah, sakit perut dan cirit-birit selepas bersarapan di situ pada waktu rehat, semalam.

Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr Khalid Ibrahim, berkata hingga kini, 22 kes sudah menerima rawatan pesakit luar manakala 27 kes mengalami gejala ringan dan tidak mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan.

“Semua kes adalah stabil dan tiada kemasukan ke wad. Kejadian keracunan makanan ini adalah terkawal dan tiada kes baharu dilaporkan.

“Siasatan masih diteruskan oleh pihak Pejabat Kesihatan Daerah Gombak untuk mengenal pasti punca keracunan makanan. Sampel pengendali, makanan serta sampel persekitaran sudah diambil untuk tujuan analisa makmal dan masih menunggu keputusan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menjelaskan kantin sekolah sudah ditutup di bawah Akta Pengawalan dan Pencegahan Penyakit Berjangkit 1988 dan satu notis di bawah Peratuan 32(1)(b), Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009 telah dikeluarkan kepada pengendali makanan.

Pengendali makanan dinasihatkan untuk sentiasa memastikan pengendalian makanan mengikut tatacara keselamatan makanan, memastikan kebersihan diri serta premis makanan dan persekitarannya.

“Orang ramai juga dinasihatkan agar sentiasa mengamalkan ‘lihat, hidu dan rasa’ sebelum makan dan memilih premis makanan yang bersih untuk membeli makanan.

“Sentiasa amalkan membasuh tangan menggunakan sabun dan air bersih sebelum menyediakan makanan, selepas menggunakan tandas serta sebelum dan selepas makan,” katanya. – BERNAMA

Berita Harian X