Jumaat, 15 Februari 2019 | 7:39pm
NORHAZNI (kanan) memberi sedikit penerangan kepada Veerapan (dua dari kiri) selepas mesyuarat penyelarasan kilang kitar semula sisa plastik di Negeri Sembilan ketika di Pejabat Jabatan Alam Sekitar, Seremban. - Foto Adzlan Sidek

5 kilang kitar semula sisa plastik beroperasi secara haram

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

bhnews@bh.com.my

SEREMBAN: Lima daripada 32 kilang kitar semula sisa plastik yang dikenal pasti oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan, didapati beroperasi secara haram.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, S Veerapan, berkata jumlah keseluruhan itu meningkat berbanding hanya ada 18 kilang kitar semula berkenaan di negeri ini pada 2016.

Bagaimanapun, beliau berkata, pemeriksaan mendapati 27 premis terbabit memiliki lesen daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan selebihnya beroperasi tanpa kebenaran.

“Pihak kami mengesyaki ada lebih daripada lima kilang beroperasi secara haram, dan akan menjalankan operasi bersepadu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Kilang Kitar Semula Sisa Plastik di JAS Negeri Sembilan, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah JAS negeri, Norhazni Mat Sari.

Mengulas lanjut, Veerapan berkata, sepanjang tempoh penguatkuasaan, tindakan sudah diambil terhadap pihak tidak mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

“Dari tahun lalu, ia membabitkan sebanyak 33 notis amaran diberi, tiga tawaran kompaun, tiga kertas siasatan dibuka, 12 sitaan operasi kelengkapan dan satu perintah larangan,” katanya.

Sementara itu, Norhazni pula berkata, kesemua 32 kilang dikenal pasti berkenaan terletak di Seremban, Nilai, Port Dickson, Tampin dan Jempol.

Setakat ini, beliau berkata, hanya lima premis memiliki kelulusan mengimport plastik terpakai daripada Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) dengan sebuah daripadanya sudah ditutup.

“Dasar kerajaan menetapkan bahawa untuk sokongan permohonan pengimportan plastik terpakai, bahan operasi mesti dalam keadaan bersih, tidak dicemari sisa kimia dan melakukan buangan berjadual.

“Pihak kilang perlu mengutamakan bekalan domestik terlebih dahulu sebelum mempertimbangkan untuk mengimport plastik,” katanya.

Beliau berkata, bagi permohonan proses kitar semula plastik, premis mestilah terletak di kawasan industri, serasi dengan kilang sekitar, memiliki sistem kawalan pencemaran udara yang baik dan mempunyai sistem pengolahan efluen bagi premis melakukan pencucian plastik.

113 dibaca
Berita Harian X