Selasa, 19 Februari 2019 | 2:50pm
Abang Johari (tengah) merasmikan Simposium Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) 2019, di Kuching, hari ini. - NSTP/Nadim Bokhari

Sarawak, HUAWEI tingkat kerjasama teknologi komunikasi

KUCHING: Kerajaan Sarawak tidak menganggap pembabitan syarikat gergasi telekomunikasi dari China, Huawei, sebagai mengundang ancaman keselamatan siber, malah berhasrat meningkatkan kerjasama dengannya.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, berkata Sarawak berpandangan tuduhan yang dihadapi Huawei tidak akan menyekat kerjasama strategik antara kerajaan negeri dan firma berkenaan.

“Huawei dan Sarawak sudah melaksanakan kerjasama strategik menerusi Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS). Kita tidak peduli apa yang berlaku di peringkat global, apa yang kita mahukan daripada Huawei adalah teknologinya.

“Usaha bersama itu adalah penting demi memacu pertumbuhan ekonomi Sarawak ke arah ekonomi berasaskan digital baik dari segi peralatan. Kita juga melaksanakan kerjasama dengan Australia,” katanya selepas menghadiri Majlis Perasmian Simposium Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) 2019, di sini, hari ini.

Bermula awal tahun ini, Amerika Syarikat, Britain, Jerman, Jepun, Australia dan New Zealand melaksanakan larangan terhadap Huawei untuk terbabit dalam sebarang perancangan pemasangan talian mudah alih 5G di semua negara berkenaan.

Mereka mendakwa Huawei memasang teknologi ‘pintu belakang’ mengintip dan mengumpul maklumat sulit negara terbabit, namun sehingga kini tiada bukti kukuh dikeluarkan bagi mengesahkan dakwaan itu.

Sementara itu, Abang Johari yang juga Menteri Kewangan dan Perancangan Ekonomi Sarawak, negeri ini tidak berdepan masalah dari segi sumbernya, namun menghadapi cabaran besar melahirkan lebih ramai lepasan TVET yang memiliki kemahiran tinggi, termasuk mampu menguasai Bahasa Inggeris dengan baik.

“Dari segi tanah dan sumber alam, Sarawak mempunyai kekuatan. Paling penting adalah kita berusaha membangunkan bakat kerana 40 peratus rakyat di negeri ini berusia bawah 35 tahun. Walaupun kita mahu bersikap patriotik atau tidak, kita kena mengakui Bahasa Inggeris adalah bahasa ‘survival’,” katanya.

142 dibaca
Berita Harian X