Rabu, 20 Februari 2019 | 4:39pm
PARUH burung enggang mendapat permintaan tinggi di China sehinggamengancam habitat haiwan itu di Sarawak. - Foto Kandau Sidi
PARUH burung enggang mendapat permintaan tinggi di China sehinggamengancam habitat haiwan itu di Sarawak. - Foto Kandau Sidi

Paruh enggang AS$1,000 di pasaran gelap China

MIRI: Paruh burung enggang yang menjadi lambang kemegahan Sarawak dijual lebih AS$1,000 (RM4,017) di pasaran gelap China, sekali gus mengancam habitat haiwan liar berkenaan sehingga dikategorikan antara haiwan paling terancam di negeri ini.

Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh, yang mendedahkan perkara itu, berkata antara 2010 hingga 2017, kira-kira 2,878 tanduk, tengkorak dan produk bernilai AS$3 juta yang cuba diseludup berjaya dirampas.

“Kita tidak boleh membiarkan spesies ini pupus kerana enggang bukan sekadar lambang Sarawak, malah logo Gabungan Parti Sarawak (GPS) turut menggunakan enggang,” katanya di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau merasmikan bengkel tiga hari CITES (Konvensyen Mengenai Perdagangan Antarabangsa Spesies Fauna dan Flora Terancam) dan ‘The Helmeted Hornbill’ atau Burung Enggang Tebang Mentua.

Beliau berkata Sarawak, Indonesia dan Brunei bekerjasama melindungi spesies haiwan liar yang dikategorikan terancam khususnya burung enggang dan langkah itu diambil untuk mengelakkan kepupusan haiwan liar berkenaan.

“Dua negara jiran ini sudah menyatakan kesediaan untuk membantu mengekalkan spesies haiwan liar terancam itu, khususnya taman negara yang bersempadan antara satu sama lain.

“Kerjasama berkenaan amat diperlukan kerana banyak haiwan liar di Sarawak diancam kepupusan. Kita memerlukan kerjasama semua pihak terutama Brunei dan Indonesia bagi menjayakan misi ini,” katanya.

Berita Harian X