Khamis, 21 Februari 2019 | 9:39pm
 Empangan Sungai Lebam. - Arkib NSTP
Empangan Sungai Lebam. - Arkib NSTP

4 empangan di Johor alami penurunan paras air

JOHOR BAHRU: Empat empangan utama di Johor mula mengalami penurunan paras air berikutan cuaca kering, kata Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti negeri, Jimmy Puah Wee Tse.

Katanya, bacaan paras air terkini di Empangan Sungai Lembam ialah 11.2 meter berbanding paras catuan (paras kritikal) 9.6 meter.

“Sekiranya paras air sampai ke paras kritikal iaitu 9.6 meter, maka empangan itu dijangka cuma dapat membekalkan air selama 53 hari,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Di Empangan Layang (Upper) pula, katanya, bacaan semasa air ialah 22 meter berbanding 19 meter paras kritikal, yang mana pada paras itu bekalan air mampu bertahan 75 hari.

Di Empangan Sembrong Barat dan Lok Heng, bacaan terkini yang direkodkan ialah masing-masing 8.53 meter (7.38 meter paras catuan) dan 2.23 meter berbanding 1.5 meter (paras catuan) yang boleh bertahan selama 38 dan 21 hari saja.

Katanya, Empangan Sungai Lebam membekalkan air kepada kawasan Penawar, Sungai Rengit dan sekeliling, manakala Empangan Layang (Upper) kepada kawasan Pasir Gudang dan sebahagian Johor Bahru.

Empangan Sembrong Barat menyalurkan bekalan air kepada kawasan Kluang dan sebahagian Ayer Hitam dan Empangan Lok Heng kepada Felda Gugusan Lok Heng, Felda Gugusan Waha dan Bukit Easter.

“Saya difahamkan oleh Jabatan Meteorologi bahawa cuaca panas ini dijangka berterusan sehingga Mac. Oleh itu, pihak kerajaan mengadakan mesyuarat khas pada 20 dan 21 Februari lalu bagi mencari langkah persediaan supaya bekalan air di Johor tidak ada terganggu,” katanya.

Jimmy berkata, antara langkah yang dibincangkan ialah pemindahan air dari sumber lain.

Sebagai contoh, katanya, jika ada keperluan di Empangan Layang (Upper) yang kini bergantung kepada Sungai Johor, kerajaan akan mengarahkan pemindahan air yang dipam dari Sungai Seluyut.

“Bagi keadaan di Lok Heng, kerajaan membina tiga telaga tiub pada 28 Oktober tahun lalu dan siap dibina pada 8 Disember tahun sama.

“Ia bakal mengeluarkan 0.9 juta liter sehari air bawah tanah sebagai ‘back-up’, sekiranya paras air di kawasan Loh Heng jatuh ke satu paras yang sangat kritikal,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Johor, Dr Sahruddin Jamal, berkata cuaca panas boleh mendatangkan beberapa insiden termasuk menyebabkan strok haba, sakit kepala, keletihan, lemah tumpuan, pening, lemah otot-otot atau kekejangan serta mual dan muntah.

“Tahun lalu, dua kes dilaporkan dari Hospital Mersing berkaitan strok haba. Kedua-duanya adalah anggota tentera yang terbabit dengan latihan larian 16 kilometer,” katanya dihubungi BERNAMA.

Selain itu, orang ramai disaran mengehadkan aktiviti luar, berehat secukupnya di rumah, dan tidak meminum minuman yang mengandungi kafein, alkohol atau kandungan gula tinggi.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, tiada laporan diterima Jabatan Pertanian negeri setakat ini, berhubung kerosakan tanaman akibat cuaca panas.

Bagaimanapun, jika ada, Jabatan Pertanian bersedia membantu petani yang terjejas dengan bantuan ihsan bencana, katanya. – BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X