Khamis, 7 March 2019 | 3:13pm
Tan Lian Chern memangku Kang Rong Chen yang menerima implan koklea termuda di Asia Tenggara. - NSTP/Syamsi Suhaimi
Tan Lian Chern memangku Kang Rong Chen yang menerima implan koklea termuda di Asia Tenggara. - NSTP/Syamsi Suhaimi

Bayi telinga bionik

KOTA BHARU: Seorang bayi lelaki berusia setahun tujuh bulan dari sini, menjadi penerima implan koklea termuda di Asia Tenggara.

Kang Rong Chen yang dilahirkan normal, dikesan mengalami masalah pendengaran pada kedua-dua telinga ketika berusia tiga bulan disebabkan penyakit meningitis.

Ibunya, Tan Lian Chern, 34, berkata anak bongsu daripada lima beradik itu diserang demam panas ketika berusia dua bulan, menyebabkan dimasukkan untuk rawatan di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), di sini selama sebulan.

“Sepanjang berada di dalam wad, saya pelik kerana anak saya tidak menunjukkan tindak balas apabila mendengar bunyi bising di sekelilingnya. Ujian saringan pendengaran mengesahkan Rong Chen ada masalah pendengaran jenis saraf yang teruk pada kedua-dua telinganya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Kumpulan Sokongan Implan Koklea USM di Dewan Nurani, Kampus Kesihatan USM, di sini, hari ini.

Terdahulu, Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM Kubang Kerian, Prof Datuk Dr Ahmad Sukari Halim melancarkan kumpulan sokongan berkenaan sempena ‘World Hearing Day’.

Implan koklea atau dikenali sebagai telinga bionik adalah satu daripada kaedah terkini dalam membantu individu yang mempunyai masalah pendengaran. Alat canggih dan berteknologi tinggi itu mampu membantu individu yang bermasalah pendengaran untuk mengenal, mendengar bunyi dan seterusnya menghasilkan percakapan.

Lian Chern berkata, bagi mengatasi masalah pendengaran dihidapi Rong Chen, anaknya menjalani pembedahan implan koklea pada telinga kiri, 22 Mac tahun lalu ketika berusia tujuh bulan sebelum implan kedua dipasang pada telinga kanan enam bulan kemudian di HUSM.

“Selepas dua bulan menjalani pembedahan, anak saya menunjukkan perkembangan positif dan boleh mendengar serta menyebut perkataan ringkas seperti ‘susu’. Disebabkan dia masih kecil, saya dan suami, Kang Chin Tiong, 35, perlu memantaunya kerana bimbang dia akan mencabut alat pendengaran di kawasan telinganya,”katanya.

Sementara itu, Penasihat Hearing Implant Team (HIT) USM, Prof Dr Dinsuhaimi Sidek, berkata sejak 2004 sehingga kini, HIT USM berjaya mengendalikan 48 kes pesakit yang menjalani pembedahan koklea berusia antara tujuh bulan hingga 58 tahun.

“Kos untuk melakukan pembedahan implan bernilai RM80,000 bagi sebelah implan koklea yang dipasang,” katanya sambil menasihatkan ibu bapa mengesan masalah pendengaran anak mereka sejak lahir melalui saringan neonatal supaya langkah pencegahan boleh dilakukan secepat mungkin.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X