Jumaat, 15 March 2019 | 11:20am
KHALID Tik (kiri) memeriksa tanda harga ketam ketika mengadakan pemeriksaan di Pasar Besar Ipoh. - Foto Abdullah Yusof

Peniaga masih degil enggan papar tanda harga

IPOH: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak mengesan 220 kesalahan gagal mempamerkan tanda harga yang dilakukan peniaga di seluruh negeri ini bermula Januari lalu hingga semalam.

Bilangan kesalahan itu menunjukkan peningkatan kira-kira 10 hingga 15 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu dan ia membuktikan masih ada peniaga yang berdegil dan cuba mengelirukan pengguna.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Perak, Khalid Tik, berkata peningkatan itu jelas menunjukkan peniaga masih tidak mematuhi arahan ditetapkan walaupun ia sudah dikuatkuasakan sejak 1993.

“KPDNHEP Perak memberi peringatan kepada peniaga untuk meletakkan tanda harga bagi memudahkan pengguna membuat perbandingan dan kegagalan meletakkan tanda harga adalah satu manipulasi terhadap pengguna.

“Tindakan sama juga akan diambil terhadap peniaga dalam talian yang sering menggunakan perkataan ‘PM tepi’ kerana ia juga jelas memanipulasi pengguna.

“Kita dapati apabila peniaga tidak meletakkan tanda harga, pengguna akan tertarik dan menanyakan soalan berbanding meletakkan tanda harga, ini jelas taktik yang digunakan peniaga,” katanya selepas mengadakan pemeriksaan di Pasar Besar Ipoh, di sini, hari ini.

Khalid turut mengingatkan peniaga supaya mematuhi peraturan yang ditetapkan bagi mengelakkan dikenakan tindakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 yang boleh dikompaun sehingga RM50,000 atau tiga tahun penjara, jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu, Khalid turut mengingatkan peniaga supaya tidak mengamalkan jualan longgok kerana ia jelas tidak mematuhi sistem timbang dan sukat yang digunakan sekali gus menyebabkan berlaku penipuan.

“Jualan secara longgok tidak termasuk dalam sistem timbang dan sukat, KPDNHEP memang tidak galakkan kerana boleh menyebabkan penipuan, saya mengingatkan kepada peniaga meletak longgok itu adalah satu kesalahan.

“Ia kerana tidak menggunakan sistem timbang dan sukat serta berkemungkinan berlaku manipulasi, orang ramai tertarik ingat longgok murah, ini cara menarik pengguna sedangkan benda itu tidak murah pun,” katanya.

Khalid berkata, sejak Januari lalu sehingga semalam, KPDNHEP Perak sudah menjalankan 14,797 pemeriksaan di seluruh negeri membabitkan rampasan bernilai RM460,641.86 dan denda berjumlah RM10,000.

Berita Harian X