Jumaat, 15 March 2019 | 3:26pm
Yang Dipertua Negeri, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob (dua dari kiri) ketika memeriksa kawalan kehormat pada Majlis Pembukaan Persidangan Pertama Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri Ke-14 di Seri Negeri, Ayer Keroh. - NSTP/Khairunisah Lokman

Pelbagaikan produk pelancongan, fokus pembinaan rumah mampu milik - TYT Melaka

AYER KEROH: Kerajaan Melaka diminta mempelbagaikan produk pelancongan serta menambah baik kemudahan asas dan penyediaan maklumat lengkap dalam usaha mencapai sasaran 20 juta ketibaan pelancong sempena Tahun Melawat Melaka (TMM) 2019.

Yang di-Pertua Negeri, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob, berkata dalam pada itu promosi pelancongan juga harus diperhebat kepada pelancong tempatan yang dilaporkan menyumbang hampir 67 peratus daripada kedatangan pelancong ke negeri ini.

“Saya difahamkan Melaka merekodkan jumlah kedatangan pelancong seramai 17.02 juta pada tahun lalu, berbanding 16.8 juta pelancong pada tahun 2017.

“Kecemerlangan Melaka dalam menganjurkan acara bertaraf antarabangsa perlulah diteruskan. Ini bagi mempromosikan Melaka sebagai destinasi pelancongan terunggul berdasarkan kekuatan Melaka sebagai negeri warisan dunia oleh UNESCO dan kerjasama antara Melaka dengan Wilayah Guangdong, China,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pembukaan Persidangan Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Ke-14, di Seri Negeri, di sini, hari ini.

Mohd Khalil turut menyentuh mengenai fokus yang patut ditumpukan iaitu pembinaan rumah mampu milik demi kesejahteraan rakyat khususnya mereka yang berpendapatan sederhana.

“Saya turut difahamkan kerajaan negeri dalam perancangan untuk memulakan pembinaan 60 unit ‘Rumah Peduli’ pertama di seluruh kawasan DUN seawal Jun ini. Di mana RM2 juta diperuntukkan setahun bagi pelaksanaannya membabitkan dua fasa iaitu pembinaan dan pembaikan,” katanya.

Beliau berkata, rekod pertumbuhan ekonomi Melaka pada 2017 mencatatkan peningkatan memberangsangkan dengan kadar 8.1 peratus, kedua tertinggi selepas Sabah, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri Melaka ialah RM35.9 bilion dengan Pendapatan Perkapita RM46,015 berbanding RM41,379 pada 2016.

Katanya, beliau turut dimaklumkan kerajaan negeri menyasarkan RM5 bilion nilai pelaburan asing dan domestik setahun yang mampu dicapai hasil minat mendalam pelabur khususnya dari China, Jerman, Korea dan United Kingdom untuk melabur ke negeri ini.

“Satu pesanan saya ialah kita seharusnya sedar bahawa penambakan laut mestilah selari dengan perancangan bagi mengelakkan tanah tambak terbiar.

“Kerajaan negeri harus memikirkan supaya pembangunan negeri tidak menunjukkan kecenderungan yang lebih bercorak ‘separatism’ kaum. Rumah mampu milik sepatutnya dimiliki semua orang begitu juga peluang perniagaan di bandar,” katanya.

43 dibaca
Berita Harian X