Ahad, 17 March 2019 | 6:47pm
PENGARAH Jabatan Perikanan Pahang, Azahari Othman (kanan) menunjukkan ikan tamalian di Pusat Pengembangan Akuakultur Perlok, Jerantut, hari ini. - Foto Mohd Rafi Mamat

Dilarang tangkap ikan tamalian dari Februari hingga April

JERANTUT: Jabatan Perikanan Pahang mengeluarkan arahan tidak membenarkan individu dan penduduk di sepanjang Sungai Pahang, Sungai Tembeling dan Sungai Jelai menangkap ikan tamalian sejak Februari lalu hingga April ini.

Ikan tamalian atau nama saintifiknya, prabarbus jullieni adalah spesies ikan sungai yang hanya terdapat di Pahang dan Perak.

Ikan itu yang boleh mencapai berat 25 hingga 30 kilogram (kg) kini semakin berkurangan dan tidak mustahil menghadapi risiko kepupusan jika tangkapannya tidak dikawal.

Pengarah Jabatan Perikanan Pahang, Azahari Othman berkata, sifat ikan tamalian atau temoleh akan ke kawasan lubuk dan air cetek untuk bertelur secara berpasangan memudahkan nelayan darat menangkapnya hanya menggunakan jaring hanyut.

“Jabatan memasang lebih 40 papan tanda di sepanjang Sungai Pahang, Sungai Tembeling dan Sungai Jelai sebagai peringatan kepada pihak berkaitan supaya tidak melakukan aktiviti menangkap ikan tamalian selama tiga bulan (Februari-April).

“Kita juga menubuhkan pasukan pemantau media sosial seperti Facebook, WhatsApp dan Instagram untuk mengesan gambar ikan tamalian yang muat naik oleh individu tertentu,” katanya ketika melakukan lawatan kerja ke Pusat Pengembangan Akuakultur Perlok, Jerantut, hari ini.

Hadir sama Pengurus pusat berkenaan Mohd Nasir Muhamad.

Azahari berkata, susulan daripada larangan itu, pihaknya memberi amaran kepada seorang penduduk Ulu Tembeling, Jerantut yang menangkap ikan tamalian bulan lalu.

Beliau berkata, pegawai penguatkuasanya bertemu lelaki terbabit bagi tujuan siasatan sebelum sebarang tindakan undang-undang dikenakan.

“Kegiatan menangkap ikan tamalian yang banyak terdapat di Sungai Pahang, Sungai Jelai dan Sungai Tembeling kini berleluasa setiap kali tiba musim bertelur di beberapa kawasan lubuk dan air cetek selain mendapat permintaan menggalakkan dengan harga tinggi mencapai RM40 sekilogram,” katanya.

Beliau berkata, mengikut peraturan Kaedah-Kaedah Perikanan (Perairan Sungai) 1991 Pahang, individu yang menangkap ikan tamalian dalam tempoh larangan boleh dikenakan kompaun RM100 dan peralatan menangkap ikan mereka dirampas.

Azahari berkata, pihaknya sebelum ini mengesan nelayan darat di beberapa kampung tradisional seperti Kampung Pagi dan Kampung Durian Hijau, Jerantut; Kampung Paloh Hinai, Pekan; Lubuk Paku dan Kampung Pejing, Maranaktif melakukan aktiviti menangkap ikan tamalian.

Berita Harian X