Selasa, 19 March 2019 | 1:26pm
TNB memohon maaf kepada pengguna yang terkesan akibat gangguan bekalan elektrik di sekitar Seri Kembangan dan Equine Park. - Foto hiasan
TNB memohon maaf kepada pengguna yang terkesan akibat gangguan bekalan elektrik di sekitar Seri Kembangan dan Equine Park. - Foto hiasan

TNB mohon maaf bekalan elektrik terjejas di Seri Kembangan, Equine Park

KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Berhad (TNB) memohon maaf kepada pengguna yang terkesan akibat gangguan bekalan elektrik di sekitar Seri Kembangan dan Equine Park berikutan kerosakan di Pencawang Masuk Utama (PMU) Serdang Raya pada jam 3.56 petang semalam.

Pengurus Besar Kanan, Distribution Network TNB, Wan Nazmy Wan Mahmood, berkata memahami kesukaran pengguna terbabit, pihaknya bertungkus lumus memulihkan bekalan elektrik dengan segera.

“Usaha mengembalikan bekalan dimulakan segera dengan dua pertiga atau 67 peratus pengguna yang terbabit mendapat bekalan dalam tempoh dua jam menerusi bekalan grid, manakala bakinya, diberi melalui set janakuasa bergerak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Nazmy berkata, bekalan dipulihkan secara berperingkat bermula jam 5 petang semalam dan sehingga jam 12 tengah hari ini, lebih 85 peratus pengguna mendapat bekalan masing-masing.

Beliau berkata, setakat ini, 131 set janakuasa bergerak digunakan untuk mengembalikan bekalan bermula jam 6 petang semalam.

Katanya, sementara 39 lagi dijangka tiba untuk memberikan bekalan elektrik bagi membolehkan bekalan dikembalikan sepenuhnya menjelang jam 2 petang ini.

“Bagi pengguna lain yang terbabit, kami menasihatkan mereka mendapatkan maklumat terkini di Facebook TNB CareLine atau menghubungi talian TNB CareLine 15454,” katanya.

Menurutnya, punca kerosakan PMU Serdang Raya disebabkan kerosakan pada peralatan panel pembahagian 33kV dan kerja-kerja pembaikan kerosakan di PMU dijangka siap esok.

“Kami berterima kasih kepada pengguna atas kesabaran sementara kerja-kerja pemulihan bekalan dan pembaikan PMU Serdang Raya ini berjalan,” katanya.

Berita Harian X