Rabu, 20 March 2019 | 7:10pm
Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bersama isterinya, Tuan Faizah Tuan Abdul Rahman di Kedai Roti Canainya kepunyaan Adil Abdul Rahman, 37, (kiri) di Kampung Losong. - Foto Ahmad Rabiul Zulkifli

RM10 juta pulihkan projek perumahan 'sakit'

KUALA BERANG: Kerajaan negeri meluluskan peruntukan RM10 juta untuk membaik pulih projek perumahan yang terbengkalai sejak 10 tahun lalu di Kampung Padang Setenge, di sini.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata kerja membaik pulih projek perumahan fasa tiga dan empat di atas tanah seluas kira-kira 51 hektar itu akan dimulakan April depan.

Beliau berkata, kerja membaik pulih 234 unit rumah berkembar setingkat itu dijangka siap sepenuhnya Disember depan.

“Keseluruhan projek perumahan itu dilaksanakan melalui empat fasa membabitkan pembinaan sebanyak 580 unit pada 2001.

“Fasa pertama dan kedua membabitkan 246 unit rumah siap dan diagihkan kepada penduduk pada 2011,” katanya ketika ditemui selepas melawat projek perumahan terbengkalai di Kampung Padang Setenge, di sini, hari ini.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk A Rahman Yahya dan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak.

Ahmad Samsuri berkata, kerajaan negeri juga bersetuju untuk mengekalkan harga rumah itu antara RM78,000 dan RM138,000 bergantung pada keluasan tanah.

Ketika mengulas ada antara pemohon yang menggunakan wang sendiri untuk menyiapkan rumah, Ahmad Samsuri berkata, kerajaan negeri akan membuat kajian semula, termasuk melakukan pemutihan.

“Kerajaan negeri dimaklumkan berlaku pertindihan nama atas kediaman itu.

“Kita dimaklumkan terdapat dua hingga tiga nama ke atas beberapa unit rumah itu dan kerajaan negeri akan melakukan siasatan terperinci sebelum membuat sebarang keputusan,” katanya.

Berita Harian X