Jumaat, 22 March 2019 | 3:36pm
PENGERUSI Jawatankuasa Pelancongan Kesenian dan Kebudayaan negeri, Tan Kar Hing. - Foto Abdullah Yusof

Lebih 60 hektar diwartakan hutan simpan kelip-kelip

TAIPING: Kawasan pewartaan Hutan Simpan Kekal Kelip-Kelip di sepanjang Sungai Sepetang akan diperkecilkan daripada cadangan asal 150 hektar kepada 60.58 hektar, kata Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Kesenian dan Kebudayaan negeri, Tan Kar Hing.

Menurutnya, langkah itu terpaksa dilakukan berikutan berlaku masalah pertindihan kawasan pemilikan penduduk di sepanjang tebing sungai berkenaan yang terletak dalam dua daerah iaitu Larut Matang Selama dan Kerian.

“Kawasan pewartaan kawasan hutan simpan yang dicadangkan pada tahun 2012 adalah seluas 150 hektar, namun disebabkan berlaku masalah pertindihan kawasan pemilikan membabitkan tanah penduduk dan kerajaan menyebabkan kerajaan mengkaji semula keluasan kawasan pewartaan hutan simpan ini.

“Keluasan terbaru yang bakal kita wartakan adalah seluas 60.58 hektar dan perkara ini kita akan bawa kepada Pejabat Tanah dan Galian (PTG) untuk pewartaan segera,” katanya.

Beliau ditemui media selepas meninjau laluan pejalan kaki di Pusat Eko Pelajaran Hutan Paya Laut Matang, Kuala Sepetang, dekat sini, yang dalam proses naik taraf.

BH sebelum ini melaporkan Persatuan Pengusaha Jeti Kelip-Kelip Kampung Dew, Syukor Ishak, mendesak kerajaan negeri segera mewartakan kawasan rizab seluas kira-kira 152 hektar di kedua-dua belah tebing Sungai Sepetang sebagai kawasan hutan simpan kekal kelip kelip berikutan sudah beberapa kali kawasan itu diceroboh.

Syukor dilaporkan berkata, beberapa pihak tidak bertanggungjawab menebang pokok berembang yang menjadi habitat kelip-kelip membiak dan sejak Januari lalu, sekurang-kurangnya 32 pokok Berembang sudah ditebang

Kar Hing berkata, ketika ini kerajaan negeri masih pada peringkat mencari dan melantik juru ukur bagi menyediakan pelan pewartaan sebelum diserahkan kepada PTG.

Sementara itu, katanya, projek menaik taraf laluan pejalan kaki sepanjang 1.2 kilometer di Pusat Eko Pelajaran Hutan Paya Laut Matang sedang dalam fasa pembinaan dan dijangka siap sepenuhnya pada Oktober tahun ini.

Beliau berkata, setakat ini projek menaik taraf bernilai RM1.8 juta itu sudah siap hampir 30 peratus.

Dalam perkembangan lain, Kar Hing turut mencadangkan pembinaan sebuah pusat penyelidikan hutan paya laut di situ, namun buat masa ini kerajaan negeri memberi tumpuan pembinaan infrastruktur asas terlebih dulu seperti kawasan parkir, tandas dan jeti penumpang di Kuala Sepetang untuk kemudahan pengunjung.

Berita Harian X