Jumaat, 22 March 2019 | 9:59pm
ORANG ramai melihat sebanyak 70 ekor anak penyu lipas berusia seminggu yang dilepaskan oleh pihak Jabatan Perikanan Pulau Pinang di Pantai Gertak Sanggul. - Foto BERNAMA

Pelepasan 70 anak penyu Lipas tarik perhatian pengunjung

BALIK PULAU: Program pelepasan 70 anak penyu spesies Lipas di Pantai Pasir Belanda di Gertak Sanggul di sini, hari ini, menarik perhatian puluhan penduduk dan pengunjung pantai itu.

Program anjuran Jabatan Perikanan negeri itu dianggap istimewa oleh penduduk setempat berikutan Penyu Lipas yang juga spesis terancam itu hanya mendarat di pantai berkenaan, dengan kali terakhir ia direkodkan adalah pada 2015.

Pengarah Perikanan negeri, Noraisyah Abu Bakar, berkata pihaknya melepaskan 70 ekor anak penyu daripada induknya yang mendarat dan bertelur di pantai itu pada 18 Januari lalu.

“Kami menerima panggilan daripada seorang pengusaha restoran makanan laut di sini, yang memaklumkan menemui sejumlah telur penyu berdekatan restorannya.

“Jadi kami berusaha mengambil semua telur terbabit dan membawanya ke Pusat Konservasi Penyu Pantai Kerachut di Teluk Bahang, sehingga ia menetas,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Noraisyah berkata, pihaknya memilih untuk melepaskan anak penyu terbabit di kawasan asal induknya bertelur kerana penyu mempunyai daya ingatan semulajadi untuk mengingati habitat asalnya.

Katanya, kawasan pantai Pulau Pinang terutamanya di perairan selatan negeri itu adalah satu-satunya pusat pendaratan penyu spesis Lipas di Malaysia, selain spesies Agar.

“Kami gembira melihat reaksi orang ramai yang teruja melihat anak penyu ini kembali ke laut.

“Kami harap program seperti ini dapat menimbulkan kesedaran kepada orang ramai mengenai kepentingan menjaga alam sekitar dan haiwan terancam,” katanya.

Berita Harian X