Selasa, 2 April 2019 | 2:01pm
Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Lee Kim Shin. - NSTP/Aziah Azmee

Sarawak pamer keunikan di badan pesawat

MIRI: Sarawak mendedahkan keunikan negeri ini menerusi iklan pada badan lima pesawat Air Asia Malaysia dan Air Asia Thailand sebagai usaha mempromosi pelancongan di negeri ini.

Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Lee Kim Shin, berkata iklan itu berkisar kepada masakan yang menjadi ikon tradisional Sarawak, selain keindahan alam semula jadinya.

Kim Shin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, kepelbagaian budaya serta perayaan masyarakat pelbagai kaum rakyat negeri ini turut dipamerkan.

“Kementerian perlu agresif mempromosikan sektor pelancongan di negeri ini supaya terus menarik kedatangan lebih ramai pelancong dari luar negara datang ke sini.

“Kita (Sarawak) mempunyai banyak aset dan produk pelancongan unik serta berpotensi menjadi destinasi unggul untuk pelancong luar,” katanya pada majlis pengagihan pelekat kereta sempena Kempen Melawat Sarawak di sini, hari ini.

Beliau berkata, kementerian itu menggunakan pelbagai strategi pemasaran dalam usaha mempromosikan Sarawak secara global.

Katanya, banyak acara menarik disusun dan dirancang sepanjang tahun ini bertujuan menarik pengunjung dari seluruh dunia datang ke negeri ini.

Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) berhasrat mengedarkan 1,000 pelekat kereta Kempen Melawat Sarawak di Miri, termasuk kepada semua teksi yang beroperasi di kawasan utara.

100 dibaca
Berita Harian X