Jumaat, 5 April 2019 | 6:43pm
PENGERUSI MAIS, Datuk Mohammed Khusrin Munawi. - Foto Roslin Mat Tahir

MAIS bersyukur keputusan Mahkamah Rayuan

SHAH ALAM: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) bersyukur dengan keputusan Mahkamah Rayuan Putrajaya semalam yang membenarkan Notis Usul pihak berkuasa agama itu dan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor Sdn Bhd (KUIS) bagi menggantung pelaksanaan kehakiman oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur tahun lalu.

Ia berhubung keputusan mahkamah itu pada pada 12 November tahun lalu yang memerintahkan MAIS dan KUIS membayar RM326 juta kepada Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) bagi pembinaan pembiayaan kemudahan bangunan kediaman asrama dan pusat pelajar KUIS yang dibuat oleh Redha Resources Sdn Bhd dan penjamin pembiayaan.

Pengerusi MAIS, Datuk Mohammed Khusrin Munawi, berkata MAIS mengucapkan terima kasih kepada semua peguam dilantik.

“Semua peguam bertungkus lumus menyediakan hujahan hingga diterima pihak Mahkamah Rayuan,” katanya.

Semalam, panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan iaitu Datuk Ahmadi Asnawi, Datuk Abdul Karim Abdul Jalil dan Datuk Suraya Othman bersetuju dengan hujahan peguam mewakili MAIS dan KUIS iaitu Nurul Muhaniza Hanafi, Dir Khidzuan Kamaruddin dan Mohamad Fairuz Yusof.

Ketiga-tiga peguam berhujah terdapat keadaan khusus untuk membenarkan penggantungan pelaksanaan kehakiman itu.

Mahkamah Rayuan turut mendengar hujahan pihak MAIS dan KUIS bahawa mereka tidak pernah menjamin keberhutangan Redha Resources Sdn Bhd dengan pihak Bank Muamalat.

Pada 12 November lalu, BH Online melaporkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa MAIS dan KUIS bertanggungjawab membayar RM326.7 juta kepada Bank Muamalat berhubung kemudahan pembiayaan bagi pembangunan bangunan kediaman dan pusat pelajar KUIS.

853 dibaca
Berita Harian X