Selasa, 9 April 2019 | 10:00am
Keadaan projek perumahan generasi baharu FELDA ( PGBF ) yang terbengkalai di FELDA Pasoh Dua. - Foto Abnor Hamizam

Rumah Generasi Baharu FELDA terbengkalai dua tahun

JEMPOL: Generasi kedua FELDA Pasoh Dua berharap FELDA dapat menyiapkan projek Perumahan Generasi Baharu FELDA yang terbengkalai sejak dua tahun lalu.

Azlan Ismail, 39 berkata banyak masalah yang timbul selepas 73 unit rumah yang sudah 60 peratus siap itu ditinggalkan oleh pemaju atau kontraktor pembinaan.

Katanya, kebanyakan generasi kedua FELDA di tanah rancangan berkenaan tidak tahu punca masalah yang dihadapi, malah pihak FELDA juga tidak pernah memaklumkan sebab terbengkalai.

“Namun yang pasti kami masih menunggu dan menanti bila projek berkenaan yang dapat disiapkan.

“Banyak risiko yang perlu dihadapi berikutan projek rumah tinggal itu sudah menjadi kawasan semak samun,” katanya ketika ditemui di sini.

Azlan berkata, penduduk sebelum ini pernah menjalankan rondaan sebelum mendapati rumah tinggal berkenaan turut dijadikan tempat menghisap dadah.


Penduduk menunjukkan projek perumahan generasi baharu FELDA ( PGBF ) yang terbengkalai di FELDA Pasoh Dua, Jempol. - Foto Abnor Hamziam

Katanya, pendawaian elektrik projek rumah berkenaan turut dipercayai dicuri oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Peneroka, Mahadi Abu Bakar, 59, berkata kawasan projek perumahan tinggal itu turut menjadi tempat berbahaya terutama kepada kanak-kanak kerana terdapat beberapa lubang yang mengandungi air.

“Dahulu kawasan ini berpagar namun entah di mana silapnya, sebaik pemaju menamatkan pembinaan, pagar berkenaan turut hilang dan merisaukan jika ia menjadi tempat bermain kanak-kanak kerana berhampiran sekolah.

“Sudahlah semak samun, keadaan sekitar projek dipenuhi barang pembinaan yang sudah dirosakkan malah jika tiada tindakan menjaga kawasan itu, kita khuatir kejadian buruk boleh berlaku,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Belia FELDA Malaysia tanah rancangan itu, Khuzaifah Ali, 39, berkata banyak masalah sebagai generasi kedua FELDA dia kecewa kerana projek berkenaan gagal disiapkan sedang ia ditunggu ramai bagi membolehkan generasi sepertinya mempunyai kediaman sendiri.

“Saya bersama rakan lain pernah meronda di kawasan dan melihat ada rumah tinggal dijadikan ‘port’ penagih sehingga ada yang memasang katil.

“Bahagian hujung projek perumahan itu berhampiran dengan ladang kelapa sawit. Jadi dengan keadaan semak samun itu tiada siapa yang boleh melihat apa yang berlaku,” katanya.

Khuzaifah berkata ketika ini, kebanyakan generasi kedua yang sudah berkeluarga masih lagi tinggal bersama ibu bapa, dan tidak tahu bila projek itu dapat disiapkan.

Pengerusi Pertubuhan Satu Silaturrahim Anak FELDA, Mohammad Yahya Zakaria, berkata pihak Majlis Pengurusan Komuniti Kampung perlu memantau keselamatan kawasan projek tinggal itu.

Selain itu, katanya, FELDA perlu menyiapkan segera rumah berkenaan bagi mengelakkan berlaku peningkatan kos jika dibiarkan terlalu lama.

“Kita juga memberi cadangan kepada kerajaan negeri supaya mengambil alih projek berkenaan dengan menjadikan Perbadanan Kemajuan Negeri, Negeri Sembilan sebagai pemaju.

“Jual rumah berkenaan kepada pembeli yang layak selepas itu dan percaya projek itu tetap mendapat keuntungan daripada dibiarkan terbengkalai begitu sahaja,” katanya.

Berita Harian X