Selasa, 9 April 2019 | 2:39pm
TAPAK pembinaan rumah generasi kedua Felda berada dalamm keadaan terbiar. - Foto Ramli Ibrahim
TAPAK pembinaan rumah generasi kedua Felda berada dalamm keadaan terbiar. - Foto Ramli Ibrahim

Rumah generasi kedua FELDA terbengkalai

GUA MUSANG: Generasi kedua FELDA di beberapa tanah rancangan di daerah ini menuntut pihak berkaitan menunaikan janji yang dibuat beberapa tahun lalu bagi membina 300 kediaman di FELDA Chiku 6, di sini.

Ketika ini tapak pembinaan rumah seperti dijanjikan terbiar dan dipenuhi semak samun.

Generasi kedua FELDA Chiku 1, Mohd Fikri Mohamad, 30, berkata, dia sekeluarga terpaksa bersesak menumpang di rumah ibu bapanya.

Katanya, sehingga sekarang belum ada pembinaan rumah untuk mereka dan tapak yang disediakan untuk tujuan itu dipenuhi semak.

TAPAK pembinaan rumah generasi kedua Felda berada dalamm keadaan terbiar. - Foto Ramli Ibrahim
TAPAK pembinaan rumah generasi kedua Felda berada dalamm keadaan terbiar. - Foto Ramli Ibrahim

“Sebagai generasi kedua FELDA, saya berharap dapat tinggal berasingan dengan ibu bapa dan mahu hidup berdikari.

“Tetapi malangnya, apabila janji untuk membina rumah tidak ditunai sehingga sekarang hingga kami yang sudah berkeluarga masih menumpang di rumah ibu bapa.

“Maklumlah apabila semua adik beradik tinggal di rumah orang tua sudah tentu kurang selesa kerana perlu bersesak,” katanya.

Mohd Fikri yang juga Pengerusi Belia FELDA Chiku 1, berkata, setakat ini terdapat hampir 1,000 generasi kedua tinggal bersama keluarga.

Katanya, mereka tidak mampu membeli rumah yang dibina pemaju perumahan di sekitar bandar ini kerana harganya terlalu tinggi dan tidak layak mendapat pinjaman bank.

Mohd Anuar Mohd Fadhi, 37, pula berkata, FELDA berjanji untuk memberi diskaun kepada generasi kedua untuk memiliki kediaman.

Katanya, mereka juga akan diberi kemudahan untuk membuat pinjaman, namun kini janji hanya tinggal janji.

Menurutnya, janji itu dibuat sejak beberapa tahun lalu dan tapak pembinaan rumah terbabit ditinggalkan terbiar begitu sahaja.

“Saya kecewa dengan keadaan ini kerana ia memberi tekanan hidup kepada kami,” katanya.

Berita Harian X