Khamis, 11 April 2019 | 4:51pm
Abang Johari menyaksikan Morshidi (duduk tiga dari kiri) dan Oliver Liu (duduk tiga dari kanan) menandatangani MoU di Shenzhen, China. - Ihsan Pejabat Ketua Menteri

Sarawak dan Huawei terus jalin kerjasama

KUCHING: Sarawak dan Huawei Malaysia kini sah bekerjasama menubuhkan Akademi Digital Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEX), yang menjadi sebahagian daripada inisiatif menyokong transformasi ekonomi digital di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, berkata penubuhan akademi berkenaan menumpukan kepada pembangunan program digital semasa dan masa depan, selain melahirkan lebih ramai bakat digital.

“Kerjasama ini adalah langkah kerajaan negeri menyokong Sarawak menzahirkan visi ekonomi digital untuk mencapai negeri berpendapatan tinggi menjelang 2030.

“Sebahagian daripada perkongsian strategik ini adalah penting bagi ekonomi digital Sarawak di mana Huawei juga akan memberi tumpuan membawa masuk teknologi ICT terkini.

“Pengetahuan syarikat itu diperlukan bagi menyokong inisiatif lain seperti bandar pintar, hubungan pintar luar bandar, kampus pintar, pertanian pintar, pendidikan pintar dan bangunan pintar,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Kenyataan beliau itu menyusuli Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara wakil kerajaan negeri dengan Huawei, di Shenzhen, China, pada 4 April lalu.

Delegasi kerajaan negeri diketuai Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Amar Morshidi Abdul Ghani; Ketua Pegawai Eksekutif CENTEX, Syeed Mohd Hussein dan Pengurus Besar Lembaga Multimedia Sarawak (SMA), Dr Zaidi Razak.

Sementara itu, Huawei diwakili Naib Presiden Syarikat Huawei Technologies Malaysia Sdn Bhd, Oliver Liu; Naib Presiden Perkhidmatan Pembelajaran Huawei, Xu Chengxin dan Pengarah Huawei Openlab, Lin Xijiang.

Upacara menandatangani MoU berkenaan turut disaksikan Abang Johari dan Ahli Eksekutif Lembaga Pengarah Infrastruktur ICT Huawei, Li Dafeng.

Antara program penting dipersetujui dalam MoU berkenaan adalah Huawei akan mengambil bahagian sebagai rakan kongsi utama melaksanakan kajian, penyelidikan dan pembangunan bagi penyelesaian pintar digital, di bawah inisiatif penggunaan 5G dan teknologi Narrow Band Internet of Thing (IoT).

Sementara itu, Dafeng berkata syarikat itu berbesar hati bekerjasama dengan Sarawak sekali lagi, susulan kejayaan Program Talenta Lab CENTEXS Huawei Phase 1 Digital.

“Kami mempunyai pengalaman bekerja di lebih 170 negara dalam internet berkelajuan tinggi, penyelesaian penghubung luar bandar, pautan kapal selam baharu, pentas aplikasi pintar, pusat data awan, serta IoT.

“Kami yakin perkongsian ini akan terus menyumbang kepada menzahirkan wawasan Sarawak dalam mencapai agenda transformasi ekonomi digital,” katanya.

Berita Harian X