Khamis, 11 April 2019 | 6:13pm
Md Alwi (kanan) menyerahkan dokumen perjanjian kepada Husam (tengah) pada majlis serah tugas Pengerusi KADA yang baharu di Ibu Pejabat KADA, Kota Bharu. - NSTP/Zaman Huri Isa
Md Alwi (kanan) menyerahkan dokumen perjanjian kepada Husam (tengah) pada majlis serah tugas Pengerusi KADA yang baharu di Ibu Pejabat KADA, Kota Bharu. - NSTP/Zaman Huri Isa

KADA buka bilik gerakan khas pantau musim kemarau

KOTA BHARU: Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) membuka bilik gerakan khas bagi mengatasi masalah yang berlaku sepanjang musim kemarau.

Pengerusinya, Datuk Husam Musa, berkata bilik gerakan khas itu berkuatkuasa hari ini sehingga musim kemarau berakhir.

“Tujuan kita membuka bilik gerakan khas ini bagi mengenal pasti apa masalah dan keperluan petani pada musim kemarau selain mengambil langkah segera bagi mengatasi sesuatu masalah.

“Bilik gerakan ini akan menjadi pemantau khas untuk mengatasi masalah kemarau memandangkan pesawah akan menuai padi dalam tempoh dua bulan lagi.

“Pelbagai usaha yang dilakukan KADA untuk membantu petani dan pesawah di bawah kendaliannya termasuk pembenihan awan bermula semalam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Serah Terima Tugas Pengerusi KADA daripada Datuk Md Alwi Che Ahmad kepada Husam di Ibu Pejabat KADA, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Husam berkata, beliau akan meneruskan kesinambungan KADA untuk meningkatkan ekonomi dan kesejahteraan rakyat di bawah kendaliannya.

“Kita akan meneruskan untuk membangunkan ekonomi, sosial dan pertanian rakyat di negeri ini,” katanya.

Sementara itu, Md Alwi berkata, pelantikan Husam sebagai Pengerusi KADA amat tepat dan berharap institusi itu terus berwibawa demi kepentingan rakyat.

“Saya berharap Husam berjaya mengembalikan semula KADA sebagai sebuah institusi penting dalam bidang pertanian,” katanya.

Berita Harian X