Jumaat, 12 April 2019 | 4:17pm
LEMBAGA Air Perak (LAP).

LAP sudah hentikan operasi LRA Ayer Ganda

IPOH: Lembaga Air Perak (LAP) sudah memberhentikan operasi Loji Rawatan Air (LRA) Ayer Ganda di Gerik, berkuatkuasa pada jam 6 petang 9 April lalu, selaras arahan dikeluarkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

LAP dalam satu kenyataannya hari ini, menyatakan, berikutan pemberhentian operasi LRA Ayer Ganda itu, pihaknya akan membekalkan air terawat kepada lebih 1,000 penduduk Kampung Ayer Ganda melalui lori tangki dan tangki statik.

“Untuk tempoh jangka panjang, LAP akan membina paip sepanjang 11.5 kilometer dan pam penggalak untuk menyalurkan air terawat daripada LRA Lawin berhampiran ke Kampung Ayer Ganda.

“Pihak LAP sentiasa memastikan kualiti air terawat yang dibekalkan kepada pengguna adalah selamat untuk digunakan,” katanya dalam kenyataan itu.

Semalam, SPAN menyatakan kekesalan dengan tindakan LRA Ayer Ganda yang terus beroperasi walaupun terjejas dengan pencemaran arsenik.

Pengerusi SPAN, Charles Santiago, dilaporkan berkata Kementerian Kesihatan mula mengesan pencemaran itu pada 8 Januari lalu, sebelum arahan dikeluarkan kepada Lembaga Air Perak (LAP) pada 14 Januari untuk menutup LRA berkenaan jika operator air negeri itu gagal mengatasinya.

Beliau dipetik sebagai berkata, laporan susulan Kementerian Kesihatan pada Februari dan Mac masih mengesan kandungan arsenik dalam air terawat, manakala LAP tetap meneruskan operasi LRA yang membekalkan air terawat kepada lebih 1,500 penduduk Kampung Ayer Ganda.

Baru-baru ini, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar Perak, Dr Abdul Aziz Bari mengesahkan pencemaran arsenik berlaku di sungai berkenaan.

Bagaimanapun, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, menegaskan pencemaran logam berat itu kurang daripada 0.01 miligram, iaitu rendah berbanding piawaian ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sekali gus air terawat LRA Sungai Ganda adalah selamat.

Kenyataan LAP itu turut menjelaskan pihaknya mengambil maklum kenyataan media SPAN itu supaya menutup LRA Ayer Ganda yang terjejas akibat pencemaran.

Katanya, hasil ujian yang dijalankan ke atas sampel air di LRA Ayer Ganda menunjukkan paras arsenik adalah rendah dan di bawah piawaian yang ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu kurang daripada 0.01 miligram untuk setiap liter.

“Bagaimanapun, LAP menghormati dan akur dengan keputusan SPAN supaya operasi LRA Ayer Ganda ditutup,” katanya.

Berita Harian X