Sabtu, 13 April 2019 | 5:01pm
MOHD Jusoh (dua dari kiri) melihat kaedah suntikan imunisasi dilakukan keatas kanak-kanak selepas merasmikan Kempen Hidup Aktif peringkat negeri di Dataran Shah Bandar. - Foto Baharom Bakar

21 kematian akibat tibi di Terengganu tahun lalu

KUALA TERENGGANU: Seramai 21 daripada 777 pesakit tibi di negeri ini meninggal dunia tahun lalu.

Pengarah Kesihatan negeri, Dr Mohd Jusoh, berkata kes penyakit tibi direkodkan meningkat enam kes kepada 777 pesakit tahun lalu, berbanding 771 orang 2017.

Beliau berkata, walaupun kes pesakit yang menghidap tibi di negeri ini semakin meningkat, daripada segi pencapaian rawatan, ia semakin bertambah.

“Kajian dilakukan mendapati 93.3 peratus pesakit tibi di negeri ini yang membuat rawatan di semua hospital dan klinik kesihatan di negeri ini sembuh daripada penyakit itu,” katanya selepas merasmikan kempen hidup aktif peringkat negeri di Dataran Shah Bandar, di sini, hari ini.

Dr Mohd berkata, kesedaran masyarakat di negeri ini mengenai penyakit tibi semakin meningkat apabila membuat rawatan segera selepas menyedari ada tanda menghidap penyakit itu.

Katanya, Jabatan Kesihatan negeri akan terus mengadakan kempen penerangan dan langkah awal perlu diambil pesakit tibi.

“Masyarakat yang mempunyai tanda diserang tibi termasuk batuk dan demam berpanjangan lebih dua minggu dan berpeluh pada waktu malam selain kurang selera makan, susut berat badan serta batuk berdarah diminta segera mendapatkan rawatan,” katanya.

Mengulas kes pesakit kanser, Dr Mohd berkata, seramai 3,645 pesakit termasuk 1,977 wanita disahkan menghidap kanser dalam tempoh lima tahun bermula 2007 hingga 2011 lalu.

Katanya, Jabatan Kesihatan negeri mengenal pasti tiga jenis kanser utama di kalangan lelaki iaitu kanser paru-paru, usus dan kanser hati.

“Jumlah lelaki yang menghidap kanser paru-paru adalah seramai 313 orang atau 18.8 peratus, kanser usus 227 orang atau 13.6 peratus, manakala kanser hati adalah 157 orang atau 9.4 peratus.

“Kanser payu dara menjadi kes tertinggi dihidapi golongan wanita apabila 534 atau 27 peratus golongan itu menghidap kanser berkenaan.

“Seramai 175 orang atau 8.9 peratus dikesan menghidap kanser usus besar dan kanser ovari membabitkan 173 orang atau 8.8 peratus,” katanya.

Berita Harian X