Isnin, 15 April 2019 | 3:43pm
KETUA Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal. - NSTP/Khairull Azry Bidin
KETUA Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal. - NSTP/Khairull Azry Bidin

Sabah setuju usul pindaan Perkara 1(2) ke persidangan DUN

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri bersetuju supaya usul untuk menyokong pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan dibawa pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi mengukuhkan lagi sokongan terhadap pindaan berkenaan di Parlimen.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata usul sokongan di DUN memberi gambaran semangat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menyokong pindaan berkenaan selain memperakukan sokongan negeri terhadap usaha yang diambil kerajaan Pusat.

“Ini boleh membantu kita kerana semangat dewan ini juga memperakukan sokongan negeri. Ia tidak patut dipolitikkan hingga membantutkan usaha kita meminda Perlembagaan, dan kita setuju usul menyokong pindaan itu dibawa ke DUN,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas cadangan Datuk Masidi Manjun (BERSATU-Karanaan) mengenai usul menyokong pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan supaya dibentangkan dalam persidangan DUN kali ini yang berlangsung hingga Khamis ini.

Masidi berkata, isu pindaan Perlembagaan yang gagal mendapat sokongan dua pertiga di Dewan Rakyat pada 9 April lalu lebih kepada isu semantik atau bahasa dan ia tidak seharusnya dipolitikkan.

Mohd Shafie sebelum itu menjawab soalan Datuk Limus Jury (UPKO-Kuala Penyu) mengenai kesan terhadap Sabah selepas Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan bagi menjadikan Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi dengan Semenanjung dipinda dan diluluskan Parlimen.

Beliau berkata, pindaan itu dibuat selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bagi mengembalikan Sabah dan Sarawak sebagai satu entiti dan bukannya satu daripada 13 negeri yang membentuk Malaysia.

“Bagaimanapun, hari bersejarah pada 9 April 2019 tidak menjadi kenyataan apabila niat murni dan ikhlas kerajaan untuk mengembalikan status Sabah dan Sarawak sebagai satu entiti mengikut peruntukan MA63 tidak diambil serius segelintir pihak hingga tidak mendapat sokongan dua pertiga majoriti Ahli Parlimen dan ini amat mengecewakan,” katanya.

Namun, katanya keputusan di Parlimen itu tidak menghalang kerajaan negeri untuk terus menuntut hak Sabah sehingga ia dikembalikan sejajar dengan hak rakyat negeri ini yang termaktub dalam MA63.

Menjawab soalan tambahan Limus, Mohd Shafie berkata usaha mengembalikan status Sabah dan Sarawak sebagai entiti yang berasingan dengan negeri lain di Semenanjung akan diteruskan menerusi kerjasama kerajaan Sarawak.

Menjawab soalan tambahan Datuk Dr Jeffrey Kitingan (STAR-Tambunan) sama ada kerajaan menyokong meminda tafsiran Persekutuan dalam Perlembagaan Persekutuan yang berasaskan tahun 1957, Mohd Shafie berkata perkara itu tidak disentuh.

Ini kerana katanya, ia merujuk kepada identiti Semenanjung (Persekutuan Tanah Melayu) yang merdeka pada tahun 1957 dan tidak membabitkan identiti Sabah serta Sarawak kerana kedua-dua negeri itu berada dalam Persekutuan pada tahun 1963.

“Kita tidak mahu sentuh 1957, itu entiti mereka. Kita tidak mahu sentuh kedudukan Malaya, identiti mereka masih ada walaupun Persekutuan Malaysia dibentuk. Kita hanya mahu masukkan semangat MA63, entiti Sabah 1963, entiti Tanah Melayu 1957. Itu imejnya, definisi sudah jelas,” katanya.

Ketika menjawab soalan tambahan Datuk Joniston Bangkuai (PBS-Kiulu), Mohd Shafie berkata tiada keperluan untuk mewujudkan Jawatankuasa Pilihan Parlimen di Dewan Rakyat seperti diminta wakil Sarawak kerana pindaan Perlembagaan hanya mahu membawa semangat MA63.

Katanya, walaupun usul pindaan itu ringkas tetapi ia sangat bermakna bagi menjadikan Sabah dan Sarawak sebagai wilayah yang setara dengan Semenanjung dan bukan dengan negeri lain yang ada di Semenanjung.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X