Selasa, 16 April 2019 | 12:35pm
DR DAING Nasir menyampaikan sijil penghargaan buat pengusaha makanan, Zarina Embong dalam menjayakan program Program MyCafé -Komuniti UMP di kampus UMP Pekan. - Foto IHSAN UMP
DR DAING Nasir menyampaikan sijil penghargaan buat pengusaha makanan, Zarina Embong dalam menjayakan program Program MyCafé -Komuniti UMP di kampus UMP Pekan. - Foto IHSAN UMP

Pengusaha kedai makan bantu siswa UMP kesempitan wang

PEKAN: Sembilan pengusaha kedai makan sekitar kampus Universiti Malaysia Pahang (UMP) di sini, menyertai Program MyCafe-Komuniti UMP bagi menaja makanan secara percuma kepada 62 mahasiswa universiti itu yang kesempitan wang dan memerlukan bantuan.

Program kebajikan itu sebahagian daripada inisiatif UMP dalam membantu mahasiswa, selain beberapa program seperti Gerobok Rezeki, ‘Food For All’, Kongsi Rezeki dan ‘UMP Campus Pantry’ yang akan dilancarkan tidak lama lagi.

Naib Canselor UMP, Prof Datuk Seri Dr Daing Nasir Ibrahim, berkata ia juga satu inisiatif dalam program ‘MyGift UMP’ yang bertujuan menyemarakkan budaya memberi sumbangan dalam kalangan masyarakat setempat.

“MyCafe adalah program yang mana pengusaha makanan berhampiran UMP bersetuju membantu mahasiswa di universiti ini, terutama yang tinggal di luar kampus dan terbeban dengan masalah kewangan sepanjang mengikuti pengajian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyerahan sijil penghargaan kepada pengusaha makanan terbabit di Dewan Bankuet UMP Pekan, di sini semalam.

Daing Nasir berkata, UMP tidak mengehadkan jumlah sumbangan, malah memberi pilihan kepada pihak pengusaha untuk memutuskan jumlah sumbangan yang akan diberikan.

“Dalam konsep ini, mahasiswa terpilih akan diberi makan percuma di kedai makan yang ditetapkan. Saya harapkan program ini dapat memberi manfaat kepada mahasiswa dan pengusaha.

“Malah saya percaya ia akan memberikan pengalaman berharga kepada mahasiswa apabila bergraduasi kelak dan mendoakan pengusaha terus dimurahkan rezeki,” katanya.

Katanya, inisiatif itu juga akan dipanjangkan di UMP Gambang dan pihaknya yakin lebih ramai pengusaha di sekitar Gambang akan menyertai program berkenaan.

Pengusaha kedai makan, Noresah Kamal, 56, yang memulakan peniagaan 11 tahun lalu, berkata warga UMP adalah antara pengunjung kedainya dan kini masa untuk beliau pula membantu mahasiswa yang memerlukan.

“Sepanjang menjalankan perniagaan di Kampung Marhum, kadang-kala mengenali mahasiswa yang mempunyai masalah kewangan. Saya sudah anggap mahasiswa seperti anak-anak saya dan diharapkan sumbangan kecil ini dapat meringankan beban mereka,” katanya.

Berita Harian X