Khamis, 18 April 2019 | 2:23pm
ANTHONY Loke (tiga dari kanan) diiringi Exco Kerja Raya, Infrastruktur dan Pengangkutan Johor, Mazlan Bujang (dua dari kiri), Pengarah Urusan MMC Corporation Bhd, Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh (kanan) serta Ketua Pegawai Eksekutif Senai Airport Berhad, Md Derick Basir (dua dari kanan) mendengar penerangan mengenai kaunter daftar masuk elektronik AirAsia semasa buat lawatan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Senai. - Foto Hairul Anuar Rahim

Gejala rasuah dalam JPJ sudah lama - Anthony Loke

KULAI: Kementerian Pengangkutan maklum mengenai amalan rasuah di kalangan pegawai dan penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sudah lama berlaku namun tiada bukti mensabitkan mereka.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, berkata kerajaan Pakatan Harapan (PH) sememangnya serius membersihkan pentadbiran daripada gejala rasuah di semua peringkat termasuk penguatkuasa.

Beliau berkata, kementerian akan memberikan kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dan mengambil tindakan lanjut.

“Kalau ada penjawat awam terutama pegawai JPJ yang terbabit dengan unsur rasuah, kita mengalu-alukan tindakan tegas daripada SPRM untuk bersihkannya.

“Memang kita tahu amalan (rasuah) ini sudah lama kedengaran, ada pegawai penguatkuasa yang melindungi pengusaha lori dan sebagainya.

“Memang cerita seperti ini sudah lama kedengaran tetapi untuk mendapatkan bukti, menguatkuatkan (undang-undang), memang ini memerlukan siasatan dan perancangan rapi SPRM dan kita yakin dengan keupayaan SPRM untuk buat siasatan dan tangkapan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Stesen FedEx Express (FedEx) Johor, di Senai Airport City, dekat sini, hari ini.

Yang turut hadir, Naib Presiden Operasi FedEx Express (FedEx) Asia Tenggara, Mark Shorney.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai penahanan 31 individu yang ditahan SPRM semalam yang membabitkan 24 penguatkuasa JPJ Pulau Pinang kerana dipercayai terbabit dengan amalan rasuah.

Sementara itu, Siew Fook berkata, pihaknya akan memberi kerjasama penuh terhadap siasatan dijalankan SPRM berhubung penahanan anggota JPJ itu.

“Kita yakin dengan kredibiliti dan kepimpinan Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Shaharuddin Khalid dalam mentadbir jabatan berkenaan dan membasmi rasuah di kalangan penguatkuasa memandangkan Shaharuddin pernah bertugas di SPRM apatah lagi beliau pernah menjadi Ketua Penasihat Eksekutif di Pejabat Penasihat Undang-undang SPRM.

Ditanya sama ada kementerian akan menstruktur semula JPJ, beliau berkata kementerian sentiasa melihat untuk memperbaiki operasi jabatan di bawah kementerian dengan penuh integriti dan berkesan.

“Buat masa ini, bidang kuasa penguatkuasaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan diteruskan namun penambahbaikan akan dibuat bagi memastikan ia beroperasi penuh integriti dan bebas rasuah, ” katanya.

Berita Harian X