Khamis, 18 April 2019 | 7:02pm

MPSJ tidak teragak-agak tutup premis makanan kotor

KUALA LUMPUR: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) akan bertindak tegas menutup mana-mana premis makanan yang kotor antara tiga hingga 14 hari, sehingga kerja pembersihan dilakukan.

Pengarah Kesihatan MPSJ, Dr Roslan Mohamed Hussin, berkata premis yang diarahkan ditutup akan diperiksa selepas tiga hari dan hanya dibenarkan dibuka semula selepas pihaknya berpuas hati.

“Objektif utama kita adalah untuk memastikan semua premis makanan bersih dan selamat untuk orang ramai menjamu selera.

“Jika kita jumpa najis tikus ataupun lipas, kita akan menutup premis berkenaan walaupun ia mempunyai gred yang bagus iaitu A ataupun B.

“Namun setakat hari ini, tiada premis ditutup lebih daripada 14 hari kerana kita tidak mahu tindakan yang diambil menjejaskan perniagaan mereka,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Operasi bersepadu pemeriksaan premis makanan dan perniagaan MPSJ bersama Jabatan Kesihatan, Jabatan Pelesenan, Jabatan Penguatkuasa, Jabatan Bangunan dan Jabatan Pengurusan Alam Sekitar itu akan diteruskan esok.

Pegawai Kesihatan Persekitaran, Jabatan Kesihatan MPSJ, Nordin Harun menampal notis Perintah Tutup pada salah satu premis yang melanggar tahap kebersihan sambil disaksikan oleh Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran, Jabatan Kesihatan, MPSJ, Farhana Mohd Redzuan dalam operasi bersepadu pemeriksaan makanan dan perniagaan di kawasan komersial SS 15/4, Subang Jaya. - Foto Khairul Azhar Ahmad

Kata Dr Roslan, 50 premis makanan termasuk kedai runcit diperiksa pada hari ini dan akan bersambung esok, dengan matlamat memastikan kebersihan diutamakan oleh semua premis makanan termasuk kedai runcit.

“Operasi ini akan memberi pengajaran kepada pemilik premis makanan untuk mengutamakan kebersihan dan sekiranya premis makanan mendapat markah 65 ke bawah, kedai berkenaan perlu ditutup bagi pembersihan antara tiga hingga 14 hari.

“Hampir setiap minggu kami menjalankan operasi seperti ini dan apabila kami mendapat aduan, kami akan terus membuat pemeriksaan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Dr Roslan memaklumkan, hampir 600 premis makanan diperiksa sehingga Mac tahun ini dan kebanyakannya mendapat gred B.

Pegawai Kesihatan Persekitaran , Jabatan Kesihatan MPSJ, Nordin Harun menunjukkan dapur premis makanan yang kotor dalam operasi bersepadu pemeriksaan makanan dan perniagaan di kawasan komersial SS 15/4, Subang Jaya. - Foto Khairul Azhar Ahmad

Berita Harian X