Ahad, 21 April 2019 | 2:28pm
PENGERUSI Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan negeri, Abdul Yunus Jamhari (kiri) dan Pengarah Jabatan Perikanan negeri, Zaki Mokri (kanan) hadir pada program ‘Back To Nature Outdoor’ di PKPP Segari, hari ini. - Foto Noor Hidayah Tanzizi

PKPP kedua di Pulau Pangkor

MANJUNG: Perak bakal mempunyai dua Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu (PKPP) selepas Jabatan Perikanan negeri merancang membuka sebuah lagi pusat itu di Teluk Ketapang, Pulau Pangkor.

Pengarah Jabatan Perikanan negeri, Zaki Mokri, berkata lokasi berkenaan menjadi tempat pendaratan penyu spesies Agar dan Lipas yang kini di bawah jagaan seorang individu membabitkan kawasan seluas dua hektar.

Beliau berkata, pihaknya kini dalam proses untuk mengambil alih kawasan berkenaan dan dijangka akan membuka PKPP yang sama seperti di Pasir Panjang, Segari dalam masa terdekat.

“Pendaratan penyu di sana mencatatkan kira-kira 40 sarang untuk setahun dan kita merancang untuk menjadikan kawasan itu sebagai PKPP.

“Di Pangkor juga nanti akan ada kolam asuhan sama seperti di Segari untuk rawatan penyu yang cedera dan memberi makanan,” katanya pada sidang media selepas program ‘Back To Nature Outdoor’ di PKPP Segari di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan negeri, Abdul Yunus Jamhari yang merasmikan program berkenaan dan melepaskan penyu Agar berusia 10 tahun ke laut sebagai simbolik perasmian.

Program anjuran bersama Jabatan Perikanan negeri dengan kerjasama Universiti Sains Malaysia (USM) itu turut diberikan taklimat berkaitan penyu oleh Pegawai Penyelidik Pusat Penyu dan Ekosistem Marin Terengganu (TUMEC).

Zaki berkata, pendaratan penyu di Pulau Pangkor juga sudah lama berlaku namun kadar pendaratan penyu di pulau peranginan itu lebih rendah berbanding di Segari.

“Pendaratan penyu di Pulau Pangkor mencatatkan 40 sarang setahun berbanding penyu di Segari yang lebih banyak.

“Kita juga menjangkakan pendaratan penyu di Segari meningkat tahun ini jika mengikut trend pendaratan yang direkodkan sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, Abdul Yunus berkata, sebanyak 83 penyu direkodkan mendarat di Segari pada tahun lalu dan menghasilkan 8,861 telur.

“Daripada jumlah itu sebanyak 3,664 anak penyu berjaya ditetaskan manakala sebanyak 28 penyu pula mendarat untuk tahun ini sehingga bulan lalu yang sudah menghasilkan 4,087 telur.

“Kerajaan negeri prihatin dengan pemuliharaan penyu dengan peruntukan yang diberikan untuk membangunkan dan menaiktaraf pusat ini dan dalam masa yang sama juga kita giat mempromosikan ia sebagai tarikan pengunjung di Perak,” katanya.

Berita Harian X