Selasa, 23 April 2019 | 9:13am
TIMBALAN Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMP, Prof Datuk Dr Yuserrie Zainuddin mengagihkan makanan percuma kepada di UMP Gambang. - Foto ihsan UMP

Pelajar UMP dapat sumbangan makanan sihat

PEKAN: Seramai 700 pelajar Universiti Malaysia Pahang (UMP) menerima bantuan makanan sihat secara percuma menerusi Program ‘We Love We Share: Take a Break with Healthy Food’ di UMP Gambang, di sini baru-baru ini.

Program anjuran Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) UMP itu mendapat kerjasama Institusi Kefeloan UMP (IKUMP) sebagai menyokong amalan gaya hidup sihat dalam kalangan pelajar UMP.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMP, Prof Datuk Dr Yuserrie Zainuddin, berkata kesedaran terhadap pentingnya pemakanan sihat mendorong pihaknya menyediakan makanan percuma kepada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) berkenaan.

“Kita memberi keutamaan kepada mahasiswa golongan B40. Setiap pelajar menerima air minuman, epal dan sandwic,” katanya pada program di pejabat JHEPA UMP Gambang.

Beliau berkata, program ini adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) Majlis Perumahan Universiti-Universiti Awam Malaysia (MAPUM) setiap kali mesyuarat berlangsung.

“Kali ini, mesyuarat MAPUM diadakan di sini, maka program dijalankan bersama pelajar UMP. Kita teruja dengan kesungguhan kakitangan universiti dan delegasi MAPUM turun padang menyediakan juadah dan bertemu mahasiswa,” katanya.

Beliau berkata, program itu menunjukkan keprihatinan pihak universiti dalam membantu mahasiswa kurang berkemampuan mendapatkan bekalan makanan dan barang keperluan lain.

“Ia secara tidak langsung dapat mendidik warga kampus dan masyarakat setempat untuk berkongsi rezeki dengan golongan memerlukan,” katanya.

Sementara itu, pelajar Fakulti Kejuruteraan Awam dan Sumber Alam (FKASA) UMP, Izzah Safiah Abdul Razak, 22, bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan dan pihak universiti yang banyak mengambil berat mengenai keadaan mahasiswa masa kini.

“Saya harap pelajar UMP menghargai murni ini. Program seperti ini perlu dilaksanakan dari semasa ke semasa supaya lebih ramai pelajar mendapat manfaat daripadanya,” katanya.

Berita Harian X