Rabu, 24 April 2019 | 8:51am
PENGURUS Besar Tourism Pahang, Datuk Ishak Mokhtar. - Foto Farizul Hafiz Awang
PENGURUS Besar Tourism Pahang, Datuk Ishak Mokhtar. - Foto Farizul Hafiz Awang

Pahang rekod 13.4 juta pelancong tahun lalu

KUANTAN: Tourism Pahang merekodkan kedatangan 13.4 juta pelancong tempatan dan antarabangsa berkunjung ke negeri ini sepanjang tahun lalu.

Pengurus Besarnya, Datuk Ishak Mokhtar, berkata antara lokasi menjadi tumpuan utama pelancong ialah Cameron Highlands, Bukit Fraser, Cherating, Genting Highlands, Teluk Chempedak, Pusat Tenun Pahang Pulau Keladi di Pekan dan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, Lanchang, dekat Temerloh.

Katanya, pelancong juga menjadikan bandar Kuantan sebagai destinasi pilihan mereka untuk membeli belah.

“Untuk berehat bersama keluarga pula, mereka (pelancong tempatan) lebih suka berkunjung ke pusat perkelahan tepi pantai dan air terjun yang terdapat di negeri ini.

“Sebagai contoh, kira-kira 100,000 pengunjung datang untuk berehat sambil melakukan pelbagai aktiviti riadah di Taman Eko-Rimba Sungai Pandan yang terkenal dengan keunikan air terjun yang bertingkat,” katanya dihubungi, di sini, hari ini.

Ishak berkata, PKGK Kuala Gandah, dekat Temerloh menerima kehadiran pelancong tempatan dan antarabangsa seramai 220,000 orang sepanjang tahun lalu dengan tarikan utama di situ ialah aktiviti mandi dan memberi makan kepada gajah, selain galeri serta persembahan haiwan berkenaan.

Katanya, penganjuran pelbagai aktiviti seperti larian, basikal dan perkhemahan di kawasan eko-rimba kendalian Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) kerancakan lagi industri pelancongan di negeri ini.

Katanya, pihak swasta juga dipelawa untuk menjalinkan bekerjasama dengan agensi kerajaan bagi menganjurkan aktiviti bersesuaian agar dapat menarik kehadiran lebih ramai pelancong ke negeri ini sepanjang tahun ini.

Berita Harian X