Selasa, 7 Mei 2019 | 4:36pm
LAPORAN minggu lalu tidak membenarkan imam dari luar negara menjadi imam solat sunat Tarawih di seluruh surau dan masjid di negeri itu, bertujuan mengetengahkan keupayaan huffaz tempatan.

Huffaz tempatan perlu latihan mencukupi

SUNGAI PETANI: Huffaz tempatan perlu mendapat latihan secukupnya supaya mampu menyampaikan bacaan al-Quran setanding huffaz luar negara yang diambil menjadi imam solat sunat Tarawih di negara ini.

Dekan Kulliyyah Usuluddin dan Sains Al-Quran, Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mua’dzam Shah (UniSHAMS), Mat Rani Abdul Manaf, berkata tidak ada sebarang tegahan sekiranya masjid atau surau tempatan menggunakan khidmat imam luar negara, namun ia wajar mengikut kemampuan masing-masing.

“Jika boleh, kita mahu mengutamakan huffaz tempatan kerana kemampuan mereka juga pada tahap yang baik, namun mereka perlu diberi pendedahan dan latihan secukupnya.

“Jika hendak ambil imam luar juga tiada masalah mungkin pihak masjid hendak tonjolkan bacaan ‘lahjah arrabi’ (dialek Arab) memandangkan orang kita suka bacaan berbunyi Arab seperti imam Mesir,” katanya ketika dihubungi BH di sini, hari ini.

Beliau berkata, bacaan al-Quran gaya Arab sebenarnya mampu dibawa huffaz tempatan terutama mereka yang menyambung pengajian di negara Asia Barat, namun perlu ditambah baik dari segi bacaan.

Semalam, Jabatan Mufti Perak mengumumkan tidak membenarkan imam dari luar negara menjadi imam solat sunat Tarawih di seluruh surau dan masjid di negeri itu, bertujuan mengetengahkan keupayaan huffaz tempatan yang sudah semakin ramai dilahirkan ketika ini.

Sementara itu, Mudir Pusat Tahfiz Nur Akhyar di sini, Muhammad Isa, berkata kehadiran ‘imam import’ tidak dihalang sekiranya mereka mampu menarik lebih ramai jemaah ke masjid.

Katanya, apa yang dilarang dalam Islam adalah jika timbul perasaan bermegah sehingga ada yang membandingkan masjid yang menggunakan imam tempatan dan imam luar negara berkenaan.

“Tidak ada masalah sekiranya masjid dan surau di negara ini mahu menggunakan khidmat imam luar negara, asalkan niatnya mahu menarik orang ramai ke masjid berjemaah dan bukannya untuk bermegah.

“Jika ada masjid yang mahu menggunakan khidmat pelajar tahfiz tempatan juga ada kebaikannya kerana ia dapat mengetengahkan keupayaan huffaz tempatan,” katanya ketika dihubungi.

Mudir Pusat Tahfiz Al-Amin, Kulim, Abd Jalil Hassan, turut bersependapat apabila menerima secara terbuka kehadiran imam dari luar negara berkhidmat di negeri ini.

“Setakat yang saya ketahui di Kedah ketika ini, tiada lagi arahan khusus melarang imam luar negara menjadi imam solat sunat Tarawih sepanjang Ramadan ini.

“Kami berpendapat, baik huffaz tempatan atau luar negara yang menjadi imam memiliki kelebihan tersendiri dan terpulang kepada jemaah memilih,” katanya.

Berita Harian X