Selasa, 7 Mei 2019 | 6:16pm
MUFTI Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad. - Foto Iqmal Haqim Rosman

NS utamakan imam Tarawih huffaz tempatan

SEREMBAN: Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad menyambut baik tindakan sesetengah kerajaan negeri yang tidak membenarkan jemputan imam dari luar negara ketika solat sunat Tarawih di seluruh surau dan masjid sepanjang Ramadan.

Beliau berkata, kerajaan atau pihak berkuasa agama sepatutnya mengutamakan huffaz tempatan untuk menjalankan tugas itu kerana ramai di kalangan mereka yang berkelayakan dan mahir dari segi bacaan al-Quran.

“Memang dari dulu lagi, saya berpandangan bahawa langkah mengambil imam dari luar negara untuk mengimamkan solat Tarawih tidak praktikal kerana ramai kalangan anak tempatan yang berkelayakan.

“Selain membabitkan kos yang banyak bagi menyediakan tempat penginapan dan makan minum imam berkenaan, tindakan itu seolah-olah menutup peluang anak tempatan termasuk imam muda untuk mempraktikkan ilmu dan kemahiran mereka ketika menuntut di luar negara,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Mohd Yusof berkata, negara ini mempunyai ramai huffaz yang berkebolehan kerana setiap tahun ramai yang dihantar belajar ke luar negara seperti di Mesir dan mereka mempunyai ilmu serta kemahiran untuk menjadi imam.

Katanya, melihat kepada majlis tilawah al-Quran peringkat kebangsaan dan antarabangsa yang dianjurkan di negara ini, ramai kalangan qari tempatan yang muncul juara, sekali gus membuktikan tahap bacaan al-Quran adalah baik.

“Sewajarnya huffaz anak tempatan ini diberikan peluang mengimamkan solat Tarawih supaya mereka dapat mempraktikkan ilmu dan kemahiran itu selain sebagai suatu peluang kerja untuk mereka.

“Selain itu, kos yang besar digunakan untuk seorang imam dari luar negara dapat dimanfaatkan oleh beberapa imam dari kalangan anak tempatan, jika mereka dipilih menjadi imam di masjid dan surau sepanjang Ramadan ini,” tegasnya.

Mohd Yusof berkata, pendekatan tidak menggalakkan khidmat imam dari luar negara bagi solat Tarawih sudah dipraktikkan sejak beberapa tahun sebelum ini.

“Di Negeri Sembilan, sememangnya tidak menggalakkan ambil imam luar dan pendekatan itu diteruskan pada Ramadan tahun ini. Kita utamakan hafiz tempatan, tetapi mereka dikenal pasti terlebih dulu berkelayakan untuk menjadi imam.

“Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) pun mengambil pendekatan sama dengan mengutamakan hafiz tempatan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mahu umat Islam mengambil peluang untuk mendapatkan ganjaran pahala dengan mengimarahkan masjid dan surau sepanjang bulan mulia ini.

“Memang usaha mengimarahkan masjid dan surau ini dibuat sepanjang masa tetapi seharusnya ditingkatkan lagi pada bulan Ramadan,” katanya.

Berita Harian X