Rabu, 8 Mei 2019 | 8:40pm
Adnan (kanan) bersama pegawai penguatkuasa melakukan pemantauan di Bazar Ramadan dekat pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu. - NSTP/Syamsi Suhaimi

Peniaga colek juga diperhati pihak berkuasa

KOTA BHARU: Kedai makan atau restoran yang menjual colek pada harga yang tidak munasabah sepanjang Ramadan tidak terkecuali dari pemerhatian pihak berkuasa.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan, Adnan Abd Rahman, berkata pihaknya akan mengambil tindakan sekiranya terdapat aduan dari pelanggan mengenai kenaikan harga melampau.

“Kita akan membuat pemantauan terhadap kedai makan yang menjual colek sepanjang bulan puasa ini kerana tidak mahu peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga melampau.

“Pelanggan boleh salurkan maklumat terperinci mengenai kedai mana atau di mana lokasinya supaya memudahkan pihak kami membuat pemantauan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Adnan berkata, penjualan colek yang sinonim dengan kemeriahan bulan Ramadan di negeri ini juga perlu diletakkan tanda harga sama seperti makanan lain.

Katanya, jika bahan colek itu perlu ditimbang, peniaga hendaklah menggunakan alat timbang sukat yang disahkan dan tidak rosak.

“Setakat ini kami belum lagi menerima sebarang aduan atau rungutan berkenaan kenaikan harga colek, namun kita mengalu-alukan maklumat daripada orang ramai bagi mengelakkan mereka dikenakan harga melampau oleh peniaga,” katanya.

Adnan terdahulu melakukan tinjauan di bazar Ramadan di Stadium Sultan Muhammad ke-IV bagi menangani isu harga barang sempena Ramadan.

Beliau berkata, seramai 125 pegawai penguatkuasa dan 94 pegawai pemantau harga ditempatkan di bazaar Ramadan di seluruh Kelantan.

Katanya, sebanyak 487 pemeriksaan sudah dibuat sepanjang tempoh dua hari bermula 1 Ramadan dan sehingga ini belum menerima sebarang aduan berhubung kesalahan yang dilakukan peniaga.

“Sebanyak 31 amaran dan nasihat dikeluarkan terhadap peniaga yang melakukan kesalahan berhubung tanda harga.

“Sekiranya kesalahan masih dibuat atau peniaga ingkar, mereka akan diambil tindakan lanjut di bawah Akta Kawalan Harga dan anti-Pencatutan 2011,” katanya.

Berita Harian X