Ahad, 12 Mei 2019 | 10:41am
Yang Dipertua Persatuan Kebajikan Anak Yatim Pahang (PEKAYA), Datuk Seri Ishak Muhamad (kanan) membantu anak yatim memilih pakaian pada Program Hari Dengan Kasih Sayang Bersama Anak Yatim sempena Ramadan di Kuantan. - NSTP/Asrol Awang

PEKAYA ceriakan 35 anak yatim, fakir, miskin

KUANTAN: Seramai 35 kanak-kanak asnaf diberi peluang memilih sendiri barangan kelengkapan termasuk pakaian bagi menyambut Aidilfitri pada tahun ini.

Mereka menerima sumbangan itu daripada Persatuan Kebajikan Anak Yatim Pahang (PEKAYA) dengan kerjasama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) cawangan Kuantan yang menganjurkan Program Hari Dengan Kasih Sayang Bersama Anak Yatim sempena Ramadan.

Yang Dipertua PEKAYA, Datuk Seri Ishak Muhamad, berkata program tahunan itu diadakan bagi memberi peluang kepada 35 kanak-kanak asnaf memilih sendiri barangan kelengkapan termasuk pakaian bagi menyambut Aidilfitri.


SERAMAI 35 anak yatim dirai Persatuan Kebajikan Anak Yatim Pahang (PEKAYA) pada Program Hari Dengan Kasih Sayang Bersama Anak Yatim di Kuantan. - NSTP/Asrol Awang

“Semua kanak-kanak berusia antara 10 tahun hingga 19 tahun ini adalah dari lima rumah kebajikan dan badan bukan kerajaan (NGO) yang terpilih.

“Ini adalah sumbangan kami untuk meringankan bebanan (keluarga) mereka menyediakan pelbagai barangan keperluan bagi meraikan Aidilfitri tahun ini,” katanya ketika ditemui selepas program itu semalam.

Sementara itu, Nur Asnina Jannah Mohd Nasir, 10, berterima kasih kepada PEKAYA dan UIAM yang memberi sumbangan itu kepada dia dan kakaknya, Nur Asnina Suraya, 13.

“Saya rasa sangat terharu dengan sumbangan kelengkapan hari raya terutamanya pakaian baharu dan sudah pasti sambutan Aidilfitri tahun ini lebih bermakna untuk kami,” katanya yang juga pelajar tahun empat Sekolah Kebangsaan Sungai Soi, di sini.

Bagi Muhammad Luqman’ul Haqeem Abdullah dari Maahad Muhamadi, di sini, berkata kebebasan untuk memilih sendiri pakaian dan barangan kelengkapan sangat memberi kepuasan kepadanya.

“Saya gembira kerana Ramadan tahun ini mendapat pakaian raya dan masih ada yang sudi menghulurkan sumbangan kepada saya dan rakan lain,” katanya.

Berita Harian X