Selasa, 14 Mei 2019 | 6:00pm

Pasport antarabangsa untuk Ainul Mardhiah

MELAKA: Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin, bayi perempuan menghidap kanser mulut Germ Cell Tumor, kini dalam proses mendapatkan pasport antarabangsa sebagai persediaan menjalani pembedahan di London, United Kingdom (UK).

Bapanya, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak, 24, mengesahkan sepasukan tiga pegawai Jabatan Imigresen dengan diketuai Penolong Pengarah Kanan Bahagian Keselamatan dan Pasport Putrajaya, Norwati Majudi, datang berjumpa mereka berhubung perkara itu, semalam.

Beliau berkata, pasport terbabit dijangka siap dalam waktu terdekat dengan pegawai Jabatan Imigresen berkemungkinan menghantarnya ke rumah.

“Tarikh ke London belum ada, namun Dr Amalina (Dr Nur Amalina Che Bakri) meminta kami menyiapkan segala keperluan untuk ke sana, termasuk pasport.

“Dari segi kos rawatan, sumbangan orang ramai banyak membantu dan dijangkakan mencukupi walaupun perbelanjaan sebenar belum dapat dipastikan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Susulan itu, Ahmad Safiuddin berterima kasih kepada semua pihak yang membantu, termasuk Jabatan Imigresen, dan berharap orang ramai mendoakan urusan mereka sekeluarga untuk rawatan Ainul Mardhiah dipermudahkan.

Pada 10 Mei lalu, Ahmad Safiuddin dilihat memuat naik status dalam Facebooknya, bertanya sama ada beliau perlu membawa bayi perempuannya itu yang kini berusia hampir sembilan bulan ke pejabat Jabatan Imigresen atau memadai dengan hanya membawa dokumen pengenalan MyKid bagi urusan berkaitan.

Media sebelum ini melaporkan pakar bedah warga Malaysia yang berpangkalan di UK, Dr Nur Amalina, bersama sekumpulan pakar di negara itu bersedia membuat pembedahan terhadap Ainul Mardhiah dengan kos rawatan dianggarkan lebih RM1 juta.

Ketua Menteri, Adly Zahari, yang melahirkan rasa simpati terhadap penderitaan bayi perempuan itu turut menzahirkan komitmen Kerajaan Melaka membiayai kos penerbangan keluarga itu ke UK.

Berita Harian X