Khamis, 16 Mei 2019 | 4:00pm
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir (dua dari kanan) bersama Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking (kanan) pada pembentangan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasific (CPTPP) di Wisma Darul Aman. - Foto Amran Hamid
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir (dua dari kanan) bersama Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking (kanan) pada pembentangan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasific (CPTPP) di Wisma Darul Aman. - Foto Amran Hamid

Kedah tidak terdesak tuntut pampasan air

ALOR SETAR: Kedah tidak terdesak mendapatkan bayaran pampasan dari Pulau Pinang kerana menerima pelbagai geran Kerajaan Persekutuan termasuk geran infrastruktur bekalan air.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, berkata geran yang diterima itu memberi kelegaan untuk Kedah bagi memastikan bekalan air dari kawasan tadahan Hutan Simpan Ulu Muda (HSUM) dapat disalur dengan lebih cekap.

Bagaimanapun katanya, setakat ini belum ada sebarang makluman atau keputusan dibuat Kerajaan Persekutuan berhubung pembayaran pampasan kepada Kedah dalam isu berkenaan.

“Saya faham Pulau Pinang sebelum ini menyatakan pampasan air kepada Kedah perlu dibayar Kerajaan Persekutuan kerana Pulau Pinang sudah membayar RM18 bilion melalui cukai barangan, perkhidmatan dan pendapatan kepada Kerajaan Persekutuan.

“Kita tidak hendak bising sangat (dalam isu pampasan) sebab Kerajaan Persekutuan beri geran ratusan juta ringgit kepada Kedah untuk menambah baik infrastruktur bekalan air serantau,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Pembentangan Zero2Maker di sini, hari ini.

Isnin lalu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Datuk Jaseni Maidinsa, dipetik berkata Pulau Pinang tidak akan membayar sebarang pampasan kepada Kedah, sebaliknya ia perlu dilakukan Kerajaan Pusat.

Mukhriz berkata, pewartaan HSUM sebagai Taman Negeri masih dalam proses dan kerajaan negeri belum mendapat sebarang keputusan mengenainya.

“Jika mahu diwartakan HSUM sebagai Taman Negeri, maka kita harap dapat dibenarkan untuk membangunkan aktiviti ekopelancongan di kawasan hutannya.

“Sekarang ini pun kita sudah hentikan aktiviti pembalakan di sana, jadi adalah lebih baik kita dedahkan kecantikan khazanah alam flora HSUM kepada pelancong selepas ini,” katanya.

Sebelum ini, BH melaporkan sumber air bagi hampir empat juta penduduk di Kedah, Pulau Pinang dan Perlis, dikhuatiri terancam jika HSUM tidak diwartakan sebagai Taman Negeri.

Kegagalan berbuat demikian boleh mengancam pengeluaran makanan di kawasan tanaman padi yang menerima air dari HSUM bagi tujuan pengairan.

Berita Harian X