Khamis, 16 Mei 2019 | 5:53pm
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Datuk Jaseni Maidinsa. - Foto Danial Saad

Pulau Pinang sokong cadangan warta HSUM sebagai Taman Negeri

GEORGETOWN: Kedah perlu fokus kepada pewartaan Hutan Simpan Ulu Muda (HSUM) sebagai kawasan tadahan air Wilayah Utara (NRWCA) dengan melindungi seluruh 163,103 hektar daripada aktiviti pembalakan.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Datuk Jaseni Maidinsa, berkata tindakan itu bagi menonjolkan impaknya kepada Kerajaan Persekutuan, sekali gus mampu mendapatkan pampasan yang adil.

“Larangan pembalakan di HSUM perlu menyeluruh tanpa pengecualian. Tidak perlu ada ‘kawasan pengeluaran hutan’ (hutan pengeluaran), atau mana-mana kawasan pembalakan dilesenkan oleh apa-apa nama lain di HSUM.

“Jabatan kerajaan perlu diberi kuasa untuk menguatkuasakan undang-undang bagi melindungi HSUM, tanpa rasa takut atau pilih kasih dengan pembiayaannya mungkin boleh diperoleh daripada pampasan dicadangkan Kerajaan Persekutuan.

“Jabatan Perhutanan Kedah perlu menghentikan pengeluaran permit pembalakan di HSUM dan semua permit pembalakan terdahulu mestilah dianggap batal dan tidak sah,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Kelmarin, kerajaan Kedah dilapor sedia mewartakan HSUM sebagai Taman Negeri bagi memastikan kawasan terbabit kekal terpelihara, sekali gus sebagai sumber utama bekalan air di Pulau Pinang dan Perlis.

Isnin lalu, BH mendedahkan sumber air bagi empat juta penduduk di Kedah, Pulau Pinang dan Perlis bakal terancam sekiranya HSUM tidak diwartakan sebagai Taman Negeri.

HSUM ketika ini membekalkan kira-kira 96 peratus air mentah untuk Kedah, 70 peratus ke Perlis dan lebih 80 peratus ke Pulau Pinang bagi tujuan kegunaan domestik, pertanian dan perindustrian.

Beliau berkata, HSUM perlu dilindungi oleh undang-undang sebagai NRWCA secara kekal bagi menjamin kepentingannya yang akan menjadi lebih ketara pada masa depan.

“Penggunaan air di Pulau Pinang meningkat sebanyak 56.7 peratus, daripada 536 juta liter sehari (MLD) pada 1999 kepada 840 MLD (2018), selain di Perlis dan Kedah juga meningkat dengan ketara dalam tempoh 19 tahun lalu.

“Permintaan air di tiga negeri ini akan terus berkembang, seiring dengan pertumbuhan penduduk dan peningkatan aktiviti sosioekonomi. Nilainya sebagai aset bekalan air yang paling penting di utara Malaysia akan meningkat,” katanya.

Berita Harian X