Jumaat, 17 Mei 2019 | 8:27pm
RAJA Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin berkenan menyampaikan sumbangan wang zakat dan duit raya kepada penerima pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Canselor MSU dan Pengagihan Zakat kepada Anak Yatim di Dewan Canselor di Shah Alam, hari ini. - Foto Saddam Yusoff
RAJA Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin berkenan menyampaikan sumbangan wang zakat dan duit raya kepada penerima pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Canselor MSU dan Pengagihan Zakat kepada Anak Yatim di Dewan Canselor di Shah Alam, hari ini. - Foto Saddam Yusoff

Yayasan MSU sumbang wang zakat, duit raya lebih RM170,000

SHAH ALAM: Yayasan Management and Science University (MSU) menyumbangkan wang zakat dan duit raya berjumlah lebih RM170,000 kepada 23 rumah kebajikan membabitkan 233 penerima.

Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin, selaku Canselor MSU, berkenan menyampaikan sumbangan terbabit.

Presiden MSU dan Kolej MSU, Prof Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid, berkata majlis itu antara program khusus sempena MSU Ihya Ramadan 2019 dengan meraikan rumah kebajikan sekitar Lembah Klang bersama penghuninya yang terdiri daripada anak-anak yatim dan orang kelainan upaya (OKU).

“Antara rumah kebajikan terbabit ialah Rumah Kasih Harmoni, Baitus Sakinah Wal Mahabbah, Pusat Jagaan Nur Ekhwan Ku, Pertubuhan Al Khaadem, Pertubuhan Amal & Kebajikan Anak-Anak Tersisih Selangor (PAKAT’S) serta Pertubuhan Kebajikan dan Pendidikan Nur Kasih, Rumah Nur Sakinah.

“Majlis penyerahan zakat ini adalah kesinambungan kepada manifestasi peranan Yayasan MSU khasnya dan MSU amnya dalam menghidupkan dan meneruskan budaya bersyukur serta memberi dalam kalangan warganya selain masyarakat secara keseluruhan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Canselor MSU dan Pengagihan Zakat kepada Anak Yatim di Dewan Canselor di sini, hari ini.

Turut hadir, Pro Canselor MSU, Tan Sri Dr Wan Mohd Zahid Mohd Noordin dan Naib Canselor MSU, Prof Puan Sri Datuk Dr Junainah Abd Hamid.

Mohd Shukri berkata MSU Ihya Ramadan 2019 juga menyaksikan pembabitan warga MSU dalam pelbagai acara kebajikan dan pengagihan zakat sama ada di dalam negara atau pada peringkat global, antaranya di Kazakhstan, Sri Lanka, India, China, Indonesia, Syria, Palestin dan Myanmar.

“Begitu juga iftar perdana pada setiap hari di kampus MSU serta iftar bersama masyarakat setempat di 15 masjid sekitar Selangor selain iftar di lima hospital iaitu Hospital Kajang, Hospital Shah Alam, Hospital Sungai Buloh, Hospital Tengku Ampuan Rahimah dan Hospital Kuala Kubu Baru,” katanya.

Mohd Shukri, dalam ucapannya, turut mengumumkan MSU Malaysia-Palestine Friendship Scholarship bernilai RM1.1 juta akan dilancarkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, pada majlis khas di Putrajaya, Rabu depan.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X