Isnin, 20 Mei 2019 | 2:56pm
MOHD Syorkri Lazim bersama keluarganya di Kampung Belanga Pudak, Bintong. - NSTP/Dziyaul Afnan Abdul Rahman

'Nak berbuka pun tak ada apa'

KANGAR: Usahkan baju raya, juadah untuk berbuka puasa pun belum tentu dapat disediakan seorang tukang kebun untuk keluarganya di Kampung Belanga Pudak, Bintong.

Itu nasib yang dialami Mohd Syorkri Lazim, 42, dan isteri, Saleha Saleh, 40, apabila kehidupan mereka ‘ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’ dan mengharap belas ihsan orang lain bagi meneruskan kelangsungan hidup.

Mohd Syorkri berkata, sudah bertahun-tahun lamanya dia dan keluarga tidak menyambut Aidilfitri seperti orang lain kerana gaji yang diterimanya tidak mencukupi bagi membuat persediaan.

“Jangan kata nak sambut Aidilfitri, untuk berbuka puasa pun kami berfikir panjang sama ada wang yang ada mencukupi atau tidak bagi membeli juadah.

“Bagi kami, Aidilfitri atau tidak sama sahaja kerana kehidupan masih dibelenggu kemiskinan dan hari-hari dalam fikiran hanya memikirkan sama ada wang cukup atau tidak untuk membeli beras,” katanya ketika ditemui di kediamannya.

Menurut Mohd Syorkri, dengan gaji sebanyak RM1,100 sebulan, dia terpaksa mengikat perut kerana gaji itu dibelanjakan kepada tiga anaknya yang masih bersekolah.

Ketiga-tiga anaknya yang berusia antara 10 hingga 15 tahun juga orang kurang upaya (OKU) dan memerlukan lebih perhatian dan penjagaan khusus daripadanya.

“Saya dan isteri hanya mampu menitiskan air mata setiap kali memikirkan Aidilfitri yang bakal menjelma kerana anak-anak akan bertanya sama ada tahun ini bolehkah mereka memakai baju baharu?

“Pada 1 Syawal setiap tahun, seandainya kami ingin menikmati juadah Aidilfitri, kami akan berkunjung ke rumah orang lain,” katanya.

Katanya, mereka sekeluarga pernah tidak menjamah hidangan berat selama tiga hari ketika berbuka puasa kerana tiada apa untuk dimasak.

“Jika kami betul-betul kelaparan, saya akan bawa anak-anak ke rumah ibu mentua menadahkan tangan untuk meminta lebihan makanan berbuka.

“Bagaimanapun, kami bersyukur dapat menumpang berteduh di rumah di atas tanah milik abang yang sudi mengambil berat hal kami,” katanya.

5918 dibaca
Berita Harian X