Rabu, 29 Mei 2019 | 1:29pm
PENGERUSI Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar Johor, Tan Chen Choon (tengah) bergambar bersama orang ramai selepas sidang media mengenai Strategi Operasi Aidilfitri dan Majlis Berbuka Puasa SWM-Media Johor di Johor Bahru, malam tadi. - Foto Nurul Amanina Suhaini
PENGERUSI Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar Johor, Tan Chen Choon (tengah) bergambar bersama orang ramai selepas sidang media mengenai Strategi Operasi Aidilfitri dan Majlis Berbuka Puasa SWM-Media Johor di Johor Bahru, malam tadi. - Foto Nurul Amanina Suhaini

3,600 tan sehari sisa buangan di Johor

JOHOR BAHRU: Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) merekodkan sebanyak 3,600 tan sisa buangan termasuk sampah domestik setiap hari di seluruh negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar Johor, Tan Chen Choon, berkata sehingga kini, status sembilan tapak pelupusan sisa pepejal di bawah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) secara dasarnya sudah tamat tempoh hayat operasinya.

Katanya, bagaimanapun, atas faktor peningkatan janaan sisa buangan di negeri ini, operasi tapak pelupusan itu terpaksa dilanjutkan sehingga hari ini kecuali bagi tapak pelupusan Jemaluang, Mersing dan tapak pelupusan Bekoh, Tangkak yang ditamatkan operasinya pada 2009.

“Kerajaan negeri mengambil ketetapan mengenai keperluan bagi mengurangkan penjanaan sisa pepejal yang menjadi sebahagian daripada konsep 3R (kurangkan, guna semula, kitar semula) dan seterusnya melengkapi dasar Pengasingan Sisa Pepejal Di Punca (PSDP).

“Sempena perayaan Aidilfitri ini, kita jangka berlaku peningkatan sisa pepejal, sehubungan itu orang ramai diminta menjadikan musim perayaan pada kali ini sebagai ‘Beraya Tanpa Sampah’ sekali gus sebagai titik mula pembudayaan konsep sifar sisa yang merangkumi amalan 3R.

“Kerajaan negeri juga menyeru supaya masyarakat menguruskan sisa pepejal musim perayaan mengikut jadual perkhidmatan yang diumumkan SWM Environment, selari dengan usaha kerajaan negeri membendung masalah sampah longgok haram yang berleluasa,” katanya pada sidang media mengenai Strategi Operasi Aidilfitri dan Majlis Berbuka Puasa SWM-Media Johor di sini, malam tadi.

Yang turut hadir, Pengurus SWM Environment Wilayah Johor, Mohd Zan Arris.

Dalam perkembangan lain, Chen Choon berkata, berhubung perkembangan sebuah kilang memproses kelapa sawit di Jementah, Segamat, yang dipercayai punca pencemaran bau berikutan penangguhan kerja pemasangan teknologi hijau, pihaknya sudah mengadakan pertemuan dengan pihak berkaitan bagi melaksanakan tindakan tegas.

“Isu pencemaran bau ini berlarutan sejak 2015 dan kerajaan negeri kesal kerana pihak kilang sehingga ke hari ini masih gagal menyiapkan kerja pemasangan ‘biogas plant’, selain status terkini kerja pemasangan hanya mencapai 80 peratus.

“Cadangan sudah diberikan kepada Pengarah Jabatan Alam Sekitar Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim supaya lesen kebenaran operasi kilang ditarik balik buat sementara atau memberhentikan operasi kilang dengan kadar segera sehingga pemasangan disiapkan sepenuhnya.

“Kerajaan negeri tidak akan berkompromi terhadap mana-mana kilang yang melakukan kacau ganggu atau pencemaran terhadap alam sekitar dan penduduk setempat,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X