Khamis, 30 Mei 2019 | 4:12pm
Ibu dan bapa Allahyarham Muhammad Adam, Mahamed Ismail Mahamed Yusof, 69, (tengah) dan Bibi Asha Hukum Khan, 66, bersama anak-anaknya di kediaman pasangan itu di Telipot. - NSTP/Siti Rohana Idris

'Kami sekeluarga sangat terkejut'

KOTA BHARU: Keluarga Allahyarham Muhammad Adam Mahamed Ismail terkejut apabila hanya mengetahui cef selebriti itu ada membuat caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) selepas pemergiannya pada 19 Mei lalu.

Kakak sulung arwah, Dr Nor Ashmiza Mahamed Ismail, 42, berkata perkara berkenaan dimaklumkan wakil PERKESO sehari selepas Muhammad Adam yang juga dikenali sebagai Adamdidam, meninggal dunia.

Beliau berkata, hubungan mereka lima beradik sangat rapat, namun tiada ahli keluarga yang tahu berhubung caruman PERKESO oleh Allahyarham.

“Sehari selepas Adam meninggal dunia, saya dihubungi wakil PERKESO mengenai caruman dibuat arwah ketika bekerja dengan majikan terdahulu sebelum menjadi cef selebriti.

“Kami sekeluarga sangat terkejut dan tidak menyangka sejauh itu arwah membuat perancangan kerana apa yang dibuatnya adalah untuk mummy dan daddy.

“Arwah memang anak yang bertanggungjawab kepada keluarga, terutama kedua-dua ibu bapa kami, malah selalu menghulurkan wang belanja untuk kegunaan keluarga,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di kediaman ibu bapanya di Jalan Raja Dewa, Telipot, di sini, hari ini.

Terdahulu, mereka dikunjungi Pengarah PERKESO Kelantan, Nora Yaacob, yang hadir bagi menjelaskan layak menerima Pencen Penakat dan Faedah Pengurusan Mayat (FPM) sebanyak RM2,000 hasil caruman Allahyarham.

Dr Nor Ashmiza berkata, sumbangan FPM yang sudah dimasukkan terus ke dalam akaun bank ibunya, akan disedekahkan kepada anak yatim dan pondok tahfiz atas nama arwah.

“Hingga kini, masih ada rakan arwah menghubungi saya untuk menyumbangkan sedekah kematian. Namun, saya dan keluarga menyarankan supaya wang itu disedekahkan kepada anak yatim atau asnaf atas nama Adam,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan Muhammad Adam meninggal dunia pada awal pagi 19 Mei lalu dipercayai akibat jangkitan paru-paru di kediaman ibu bapanya.

Sementara itu, Nora berkata, hasil semakan pihaknya melalui Skuad PERKESO Kelantan mendapati Allahyarham Muhammad Adam adalah bekas pencarum dengan majikan terdahulu, sekali gus memenuhi kelayakan tuntutan Pencen Penakat.

“Walaupun kami menyedari keluarga arwah adalah golongan berkemampuan, sebagai seorang yang pernah mencarum dengan PERKESO, ia tetap hak arwah terhadap Pencen Penakat.

“Ibu bapa arwah akan menerima Pencen Penakat secara bulanan sebanyak RM526.60 sepanjang hayat mereka, manakala bayaran FPM sebanyak RM2,000 sudah dikreditkan ke dalam akaun ibu Allahyarham,” katanya.

7067 dibaca
Berita Harian X