Jumaat, 31 Mei 2019 | 4:22pm
PELAJAR Universiti Malaysia Pahang (UMP) memilih pakaian terpakai yang diberikan secara percuma pada Program Jualan Amal Raya Campus Pantry. - Foto ihsan UMP
PELAJAR Universiti Malaysia Pahang (UMP) memilih pakaian terpakai yang diberikan secara percuma pada Program Jualan Amal Raya Campus Pantry. - Foto ihsan UMP

Satu kontena pakaian terpakai habis dalam masa 5 jam

KUANTAN: Hampir satu kontena pakaian serta pelbagai barangan keperluan lain diagihkan dalam masa lima jam kepada orang ramai dan mahasiswa Universiti Malaysia Pahang (UMP) sempena Program Jualan Amal Raya Campus Pantry di sini.

Program yang memasuki tahun kedua penganjurannya adalah inisiatif Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) UMP dengan kerjasama Persatuan Wanita UMP (MATAHARI).

Ia bertujuan berkongsi kegembiraan bersama mahasiswa menjelang sambutan Aidilfitri, minggu depan.

Pengurus Besar JHEPA UMP, Haryani Abdullah, berkata program itu juga dapat membantu mahasiswa mendapatkan pakaian secara percuma.

“Pakaian ini disumbangkan oleh warga UMP sejak minggu lalu dan kebanyakannya baju kurung, baju Melayu, kemeja, seluar kanak-kanak dan dewasa, kain, sejadah serta telekung yang masih baharu dan boleh digunakan,” katanya satu kenyataan media di sini, hari ini.

PELAJAR Universiti Malaysia Pahang (UMP) memilih pakaian terpakai yang diberikan secara percuma pada Program Jualan Amal Raya Campus Pantry. - Foto ihsan UMP

Beliau berkata, program itu terbuka kepada semua mahasiswa dan masyarakat sekitar serta mereka boleh mengambil pakaian ini untuk kegunaan sendiri atau ahli keluarga masing-masing.

“Selain pakaian percuma, kita juga memberi peluang kepada mahasiswa dan pengunjung mendapatkan pakaian sambil beramal,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Program, Paridah Mohd Ali, berkata pihaknya berbangga dengan kesungguhan sukarelawan dan mahasiswa yang banyak membantu dalam mengumpul serta mengasingkan pakaian bagi memastikan hanya pakaian sesuai diagihkan.

“Program bermula jam 10 pagi dan selepas lima jam, kita berjaya menghabiskan semua pakaian dan turut dapat mengumpul RM2,000 hasil sumbangan mahasiswa dan orang ramai yang menyertai program ini,” katanya.

Berita Harian X